
Timbalan Presiden M Saravanan berkata, parti itu akan meneruskan berkumpul demi solidariti memandangkan ribuan ahlinya sudah komited hadir.
“Sebaliknya, MIC akan mengadakan majlis doa khas di Kuil Murugan pada 11 pagi, 6 Jan,” katanya dalam kenyataan.
“Kami mengalu-alukan lebih ramai masyarakat India untuk turut serta bersama-sama mendoakan Najib mendapat keadilan berhubung titah addendum tersebut.”
Saravanan berkata, MIC sepenuhnya menghormati dan menjunjung titah Agong berhubung kuasa prerogatif menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi kesalahan di Wilayah Persekutuan.
“Pada masa sama kita juga harus menghormati titah addendum (dikatakan) dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong terdahulu yang membenarkan syarat tahanan rumah untuk Najib.
“Saya yakin bahawa hak (Najib) untuk semakan kehakiman yang adil dan saksama mesti dipertahankan,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan, suatu himpunan akan diadakan pada 6 Jan di Istana Kehakiman, Putrajaya, diterajui Umno dan PAS, pada hari Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib berhubung titah adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain seterusnya menggesa orang ramai supaya tidak menyertai sebarang himpunan berikutan kenyataan Istana Negara yang mengingatkan semua pihak agar menghormati Perlembagaan dan undang-undang dalam memohon keampunan atau pengurangan hukuman seseorang banduan.
Semalam, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan parti itu tidak akan meneruskan himpunan solidariti tersebut, atas prinsip menjunjung titah Agong dan mematuhi gesaan ketua polis negara.
PAS bagaimanapun awal hari ini menegaskan himpunan solidariti itu tidak menyanggah mahupun mengurangi makna dan tujuan titah tersebut, mahupun mana-mana peruntukan Perlembagaan atau mengganggu proses dan perjalanan Lembaga Pengampunan.
Dalam pada itu, MCA turut memutuskan tidak menggerakkan ahlinya menghadiri himpunan solidariti di Putrajaya, namun tidak menghalang mana-mana ahli untuk hadir atas kapasiti individu.
“MCA mahu kerajaan berterus terang sama ada titah adendum ini wujud atau tidak ketika tempoh pemerintahan Agong ke-16.
“Kerajaan seharusnya menjunjung segala titah Agong pada setiap masa berpandukan kepada Perlembagaan,” , menurut kenyataan Biro Publisiti MCA hari ini.
Isnin ini, Mahkamah Rayuan akan mendengar permohonan Najib mendapatkan kebenaran mengemukakan keterangan baharu dalam rayuannya untuk menjalani baki tempoh penjaranya sebagai tahanan rumah, menurutnya seperti yang dibenarkan oleh titah addendum dikatakan dikeluarkan oleh Agong terdahulu seiring keputusan Lembaga Pengampunan meringankan hukumannya.