SKMM turun 63,652 kandungan berunsur penipuan di media sosial tahun lepas

SKMM turun 63,652 kandungan berunsur penipuan di media sosial tahun lepas

Antara penipuan yang dikenal pasti termasuk AI seperti 'deepfake' melibatkan tokoh terkenal, kata Teo Nie Ching.

Teo Nie Ching menyeru penyedia platform dalam talian agar menyemak serta meningkatkan usaha pemantauan susulan peningkatan kandungan penipuan dalam talian melibatkan AI.
KULAI:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menurunkan sebanyak 63,652 kandungan berunsurkan penipuan dalam media sosial tahun lepas, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara, berbanding 6,297 kandungan yang diturunkan pada 2023.

Katanya, antara penipuan yang dikenal pasti melibatkan kecerdasan buatan (AI) seperti ‘deepfake’, menyamar menjadi orang terkenal, video, grafik dan perkataan.

“Menerusi teknologi AI sekarang memang sangat mudah untuk buat video ‘deepfake’. Kita lihat ramai tokoh terkenal menjadi mangsa, seperti Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan juga bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz baru-baru ini,” katanya.

“Angka 63,652 (kandungan) adalah besar dan ia berdasarkan aduan yang kami terima … tetapi, saya percaya ada banyak lagi di luar sana. Jadi, sangat penting untuk kita mendidik masyarakat agar lebih peka dan prihatin, selalu buat semakan dan jika tidak pasti, jangan kongsi.”

Beliau berkata demikian di Dewan Raya Felda Bukit Permai hari ini ketika ditanya mengenai statistik penipuan di laman sosial dan ‘deepfake’ yang berlaku melibatkan beberapa tokoh terkenal di negara ini.

Teo berkata, banyak penipuan berbentuk ‘Investment Guru’, seperti yang melibatkan Zeti Akhtar kononnya beliau ‘berkongsi’ pengalaman dan panduan dalam pelaburan yang akhirnya memperdaya mangsa sehingga terjerumus ke dalam penipuan pelaburan.

“Sebenarnya, itu helah (untuk memperdaya) orang ramai menyertai kumpulan WhatsApp (penipu) dan akhirnya mereka terkena dan menjadi mangsa dalam penipuan pelaburan,” katanya menambah, angka dilaporkan polis juga menunjukkan penipuan pelaburan paling banyak berlaku.

Dalam pada itu, Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai menyeru penyedia platform dalam talian, seperti TikTok dan Meta, agar menyemak serta meningkatkan usaha pemantauan, susulan peningkatan kandungan khususnya penipuan dalam talian melibatkan AI.

“Bukan kandungan dijana AI tidak boleh diguna pakai, tetapi kami harap mereka boleh fikir kaedah, sekurang-kurangnya letak nota dalam hantaran itu menyatakan ia janaan AI,” katanya.

Sebelum ini, Teo dalam satu hantaran di Facebook meminta orang ramai tidak terpedaya dengan penyebaran video palsu ‘deepfake’ berjudul ‘Rahsia Pelaburan Sepanjang Hayat Zeti’ dalam bahasa Mandarin.

Dalam video tersebut, ‘Zeti’ mengajak penonton menyertai komuniti dalam talian untuk ‘belajar dan maju bersama’ dengan menawarkan panduan saham dan pandangan ekonomi bagi membantu pengguna memahami bagaimana dasar negara dan perubahan pasaran mempengaruhi pelaburan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.