Polis ambil keterangan 15 individu berkait kematian di Pinkfish

Polis ambil keterangan 15 individu berkait kematian di Pinkfish

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata antara individu yang diambil keterangan terdiri daripada rakan-rakan dan ahli keluarga mangsa.

Hussein Omar Khan
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata polis juga masih menunggu laporan bedah siasat dan toksikologi bagi menentukan punca kematian semua mangsa. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Seramai 15 individu dirakam keterangan setakat ini bagi membantu siasatan berhubung kes kematian empat individu selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu di Bandar Sunway, Subang Jaya pada 31 Dis lalu.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata antara individu yang diambil keterangan terdiri daripada rakan-rakan dan ahli keluarga mangsa.

“Polis juga pada ketika ini masih menunggu laporan bedah siasat dan toksikologi bagi menentukan punca kematian,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Hussein berkata berdasarkan maklumat diterima daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), dua lagi mangsa lain yang turut dilaporkan mempunyai simptom sama berkait dengan kematian empat individu berkenaan telah mula sedar, namun berada dalam keadaan lemah.

Sebelum ini, Hussein dilaporkan berkata siasatan awal polis mendapati empat mangsa yang meninggal dunia selepas menghadiri konsert itu disyaki terbabit dalam pengambilan dadah jenis ekstasi.

Pihak penganjur kemudian tampil dengan kenyataan bahawa mereka mengambil pelbagai langkah keselamatan seperti kehadiran lebih 100 anggota polis, menempatkan anggota keselamatan terlatih dan unit K9 di semua pintu masuk, serta akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan yang dijalankan polis.

Sebelum ini, media melaporkan polis sedang menyiasat punca kematian empat individu berusia lingkungan 20 hingga 40-an termasuk dua wanita selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.