Peguam hujah pengampunan diraja sah walau tak lalu lembaga

Peguam hujah pengampunan diraja sah walau tak lalu lembaga

Dalam satu forum awam, Haniff Khatri Abdulla berkata kesahan pengampunan diraja tidak terjejas walaupun dibuat di luar prosiding Lembaga Pengampunan.

TOWNHALL RAKYAT
Peguam Haniff Khatri Abdulla ketika bercakap dalam satu forum awam mengenai isu pengampunan diraja petang tadi.
KUALA LUMPUR:
Pengampunan diraja masih sah walaupun diperkenankan tanpa melalui proses di Lembaga Pengampunan, hujah peguam Haniff Khatri Abdulla dalam satu forum awam mengenai isu pengampunan diraja.

Haniff berkata Perlembagaan Persekutuan dan beberapa duluan ditetapkan Mahkamah Persekutuan menunjukkan bahawa pengampunan diraja boleh diberikan oleh raja tanpa perlu melalui proses lembaga tersebut.

“Kesahan mana-mana pengampunan diraja tidak terjejas walaupun dibuat di luar prosiding Lembaga Pengampunan,” kata Haniff dalam forum bertajuk ‘Pengampunan Diraja: Skop dan Halangan’ yang berlangsung petang tadi.

Beliau berhujah bahawa pemberian pengampunan adalah hak prerogatif raja semata-mata dan tidak boleh dihadkan oleh mana-mana formaliti atau badan.

Komen Haniff itu muncul di tengah-tengah kontroversi tuntutan bekas perdana menteri Najib Razak bahawa beliau layak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah seperti yang didakwa terkandung dalam perintah tambahan lembaga pengampunan.

Satu perhimpunan solidariti akan diadakan di Putrajaya pada Isnin bagi menyokong Najib, yang permohonan semakan kehakimannya akan dipertimbangkan oleh Mahkamah Rayuan pada hari tersebut.

Semalam, Istana Negara menegaskan bahawa mana-mana permohonan untuk banduan di wilayah persekutuan diberikan pengampunan atau pengurangan hukuman mesti dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan untuk pertimbangan.

Kenyataan istana itu dikeluarkan seminggu selepas Jabatan Peguam Negara menyatakan bahawa sebarang permohonan untuk banduan di wilayah persekutuan menjalani baki hukuman mereka di bawah tahanan rumah, termasuk Najib, perlu melalui Lembaga Pengampunan.

Haniff berkata walaupun rang undang-undang mengenai tahanan rumah diluluskan, yang memberi pilihan kepada hakim dalam menjatuhkan hukuman, ia tidak akan menjejaskan hak prerogatif raja untuk memberikan pengampunan.

Rang undang-undang yang membenarkan tahanan rumah sebagai hukuman alternatif bagi kesalahan tertentu dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Walaupun tiada peruntukan undang-undang bagi banduan menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah, Akta Penjara membenarkan seorang banduan dibebaskan dengan lesen tertakluk kepada peraturan yang dibuat oleh menteri dalam negeri.

Pada Isnin, Mahkamah Rayuan akan mendengar permohonan Najib untuk semakan kehakiman bagi dibenarkan menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah seperti yang didakwa terkandung dalam perintah tambahan pada 2 Feb lalu.

Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun di Penjara Kajang atas tuduhan rasuah dalam kes SRC International.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.