
Ketuanya Hasbie Muda berkata, Pemuda Amanah memandang serius kenyataan yang dikeluarkan Fadhli itu dan mahu tindakan tegas diambil bagi memastikan tiada pihak sewenang-wenangnya merendahkan institusi diraja.
“Sebagai rakyat Malaysia, menjadi tanggungjawab semua untuk mempertahankan kedaulatan institusi diraja yang menjadi tonggak perpaduan negara.
“Sehubungan itu, Pemuda Amanah mengarahkan Pemuda Amanah di seluruh negara membuat laporan polis terhadap kenyataan beliau (Fadhli),” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, beberapa pemimpin kerajaan mempersoalkan kiasan sinis digunakan Fadhli Shaari di media sosial, semalam, yang didakwa boleh menjurus penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Fadhli menerusi Facebook berkata: “Disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji. Disergah biawak, digadai reban.”
Hantaran itu dibuat semalam selepas Umno memutuskan tidak meneruskan perhimpunan solidariti bersama bekas presiden Najib Razak, Isnin ini kerana menjunjung titah Agong.
Sebelum itu, Istana Negara mengingatkan semua pihak menghormati kuasa prerogatif Agong dalam mengampunkan atau mengurangkan hukuman seseorang banduan dan menggunakan saluran perundangan ditetapkan.
Susulan itu, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menggesa Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menjelaskan maksud hantaran di media sosialnya terbabit termasuk ‘biawak’ dimaksudkannya.
Wakil rakyat Batu Pahat Onn Abu Bakar dari PKR juga mempersoalkan sama ada Fadhli cuba menderhaka dengan membuat kiasan sinis seumpama itu.