
CEO Livescape Group, Iqbal Ameer berkata tindakan secara menyeluruh itu menjejaskan keseluruhan industri disebabkan tindakan segelintir individu.
Polis sebelum ini memaklumkan empat pengunjung yang maut ketika konsert ambang tahun baharu Pinkfish di Sunway Lagoon pada 31 Dis lalu disyaki mengambil ekstasi, walaupun masih menunggu laporan analisis toksikologi.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata, arahan itu sehingga pihaknya yakin penganjur dapat memberikan jaminan mereka boleh mengawal perjalanan konsert, terutamanya menghalang unsur jenayah, seperti pengedaran dadah di konsert terbabit.
Iqbal berkata lebih 100 acara dirancang pada 2025, dan penangguhan tersebut akan memberi kesan buruk kepada pengendali lokasi, artis, perniagaan kecil, serta pakar teknikal yang bergantung kepada pendapatan daripada acara sedemikian.
Beliau berharap pihak berkuasa dan menteri berkaitan bekerjasama dengan penganjur acara bagi mencari penyelesaian yang lebih baik, bukannya melarang atau membatalkan konsert.
“Ini adalah perkembangan yang amat membimbangkan dan saya sangat terkesan memikirkannya. Jika anda ditangkap membawa dadah melalui lapangan terbang, adakah anda akan menghentikan semua penerbangan dan menutup seluruh lapangan terbang sehingga diberitahu kelak?” katanya.
“Apa yang polis mahu laksanakan bukanlah penyelesaian yang seimbang dan berkesan, yang mengutamakan keselamatan tanpa menjejaskan sumber pendapatan ribuan orang dalam industri ini.”
Katanya, Malaysia mempunyai garis panduan konsert paling ketat di rantau ini, dan pihak berkuasa bersama penganjur seharusnya membincangkan langkah penguatkuasaan tambahan untuk mencegah kematian berkaitan dadah di konsert.
Beliau berkata penguatkuasaan sedia ada sudah memadai, memandangkan pengurusan Pinkfish menyediakan ratusan anggota keselamatan di lokasi, ditambah lebih 100 anggota polis di luar lokasi, serta unit K9 di semua pintu masuk.
“Apa yang berlaku memang malang, tetapi jika anda melanggar undang-undang, anda harus menanggung akibatnya, bukan menghentikan seluruh industri kerana kesalahan itu,” katanya.
Sementara itu, DJ veteran Victor Goh menyifatkan penangguhan kebenaran itu sebagai ‘tidak bijak’ dan memberi kesan besar kepada industri festival muzik negara serta sektor yang menyokongnya.
Goh berkata seorang rakannya yang menjalankan syarikat yang membekalkan peralatan audio-visual untuk konsert telah melabur dalam peralatan baharu bagi memenuhi lonjakan acara pada tahun ini.
“Penganjur juga sudah membayar deposit untuk artis dan lokasi acara. Tetapi dengan hilangnya semua pendapatan daripada konsert, siapa yang akan dipertanggungjawabkan? Siapa yang akan menanggung kerugian ini?” katanya.