Umno junjung titah, tak teruskan himpunan 6 Jan

Umno junjung titah, tak teruskan himpunan 6 Jan

Umno akur pada saranan titah agar menghormati kuasa prerogatif Agong untuk menggunakan saluran perundangan yang ditetapkan.

Umno tidak teruskan perhimpunan solidariti bersama bekas presidennya pada 6 Jan ini atas prinsip menjunjung titah Agong.
PETALING JAYA:
Umno mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan solidariti bersama bekas presiden Najib Razak, atas prinsip menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.

Perkembangan ini menyusuli kenyataan Istana Negara, yang mengingatkan semua pihak agar menghormati Perlembagaan dan undang-undang bagi memohon keampunan atau pengurangan hukuman seseorang banduan.

Umno berkata ia akur pada saranan titah agar menghormati kuasa prerogatif Agong untuk menggunakan saluran perundangan yang ditetapkan.

“Umno menaruh sepenuh keyakinan atas keihsanan dan kebijaksanaan baginda dalam memberikan keadilan penuh kepada Najib,” menurut kenyataan oleh Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki.

Sebelum ini dilaporkan suatu perhimpunan akan diadakan pada 6 Jan, iaitu hari Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.

Ahli beberapa parti politik dilaporkan akan menyertai himpunan itu, antaranya daripada Umno dan PAS.

Tengah hari tadi, Istana Negara dalam kenyataan berkata Agong mempunyai kuasa prerogatif menurut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi kesalahan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Baginda juga boleh meremit, menggantung atau meringankan hukuman dijatuhkan mahkamah bagi kesalahan tersebut, dengan kuasa itu dijalankan atas nasihat Lembaga Pengampunan dipengerusikannya.

Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan untuk diberi keampunan atau pengurangan hukuman, permohonan berkenaan hendaklah dikemukakan banduan berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan dipengerusikan Agong pada mesyuarat akan datang, katanya.

“Umno menjunjung hormat titah kenyataan Agong berhubung dengan kuasa prerogatif menurut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa jua kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya,” katanya.

Pada 28 Dis lepas, Jabatan Peguam Negara berkata, permohonan pengampunan termasuk menghabiskan baki hukuman penjara di rumah mana-mana banduan termasuk bekas perdana menteri Najib Razak perlu dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan.

Katanya, permohonan itu perlu dilakukan mengikut tatacara dan saluran ditetapkan, bawah undang-undang, bukannya mana-mana saluran lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.