
Bagi Malaysia cukai menjadi satu lagi sumber pendapatan, berbanding pinjaman yang hanya akan menambah hutang negara yang sudah mencecah RM1.2 trilion.
Namun, mengenakan cukai amat tidak popular.
Sebaliknya, menurut Belanjawan 2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Oktober, kerajaan Madani merumuskan strategi baharu – membanteras rasuah dan salah urus kewangan.
Rasuah dan salah urus diibaratkan sebagai suatu ‘penyakit’ di Malaysia.
Badan pemikir, Emir Research, menganggarkan negara mengalami kerugian mencapai RM2.3 trilion akibat rasuah dan ketirisan, dari 1997 hingga 2022.
Sebagai andaian, setiap seorang rakyat boleh diberi RM74,000 dengan wang sebanyak itu — suatu angka lumayan memandangkan pendapatan 50% rakyat kurang daripada RM2,844 sebulan atau kira-kira RM34,100 setahun.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan negara kerugian RM277 bilion akibat jenayah rasuah dalam tempoh lima tahun lepas, atau kira-kira RM56 bilion setahun.
Angka ini menyentuh keseluruhan ekonomi, bukan sektor awam semata-mata.
Walaupun begitu, tidak mustahil negara akan dapat menjimatkan berbilion ringgit yang boleh dibelanjakan untuk rakyat, tanpa membebankan mereka dengan cukai baharu, sekiranya masalah rasuah dan ketirisan dalam kerajaan dibasmi.
Malah kerajaan akui sebanyak RM10 bilion boleh dijimatkan dengan hanya membersihkan proses perolehan awam, dan RM20 bilion lagi jika ketirisan dalam program subsidi diesel ditangani.
Inilah wang yang boleh dibelanjakan bagi memenuhi keperluan rakyat.
Seperti yang ditegaskan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, pertumbuhan ekonomi tetapi mengabaikan kesejahteraan sosial adalah sesuatu yang tidak dapat dipertahankan.
Untuk rekod, KDNK Malaysia kembang 3.7% pada 2023 dan diunjurkan berkembang sebanyak 5% tahun ini.
“Memacu ekonomi tetapi pada masa membenarkan perkara yang keterlaluan adalah sesuatu yang melampau untuk dibayangkan,” kata Anwar dalam wawancara eksklusif dengan FMT baru-baru ini.
Beliau berkata kegagalan itu, yang mengutamakan pertumbuhan ekonomi mengatasi kesejahteraan rakyat, berpunca daripada rasuah serta dasar yang cacat lagi tidak konsisten dengan pemikiran lazim.
Hasil maksimum
Hakikatnya, lebih banyak lagi boleh ditambah ke dalam tabung kerajaan sekiranya institusi awam seperti syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lebih berhemat.
Meskipun setiap pelaburan ada risiko tersendiri, langkah GLIC harus bersendikan penilaian yang rapi agar ia menghasilkan pelbagai manfaat untuk ekonomi.
Kerugian RM43.9 juta yang ditanggung Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam pelaburan dalam FashionValet Sdn Bhd boleh dijadikan contoh.
Sektor e-dagang fesyen diketahui sebagai pelaburan berisiko tinggi dan FashionValet, yang diasaskan oleh pempengaruh media sosial, Vivy Yusof, sudah pun rugi apabila Khazanah dan PNB masuk.
FashionValet bukanlah satu-satunya contoh kesilapan Khazanah dalam membuat pelaburan. Pada 2018, ia kerugian RM80 juta dalam perniagaan pakaian dalam talian di India.
Tiga tahun kemudian, dana kekayaan berdaulat itu menjual pegangan dalam syarikat semikonduktor, SilTerra Malaysia Sdn Bhd, pada harga RM273 juta selepas memberikan pinjaman RM781 juta.
Tidak seperti Temasek Singapura, yang memotong pampasan pengurusan kanan selepas ia mengalami kerugian sebanyak S$372 juta (RM1.2 bilion) dalam pelaburan dalam pertukaran mata wang kripto, FTX, tiada akibat daripada kesilapan langkah Khazanah.
Langkah pembetulan
Jadi bagaimana Belanjawan 2025 membetulkan keadaan?
Banyak langkah pembetulan menyentuh apa yang disebutkan sebagai reformasi institusi dan undang-undang.
Satu cadangan dikemukakan ialah mewajibkan tender terbuka bagi menutup urusan secara tertutup.
Pindaan pada Akta Audit akan memberi Jabatan Audit Negara kuasa lebih besar untuk menyemak kewangan GLC dan GLIC serta wang awam.
Inisiatif lain, yang dipanggil “Ikuti Jejak Wang Awam”, akan menjejaki cara wang pembayar cukai digunakan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) dijangka dapat belanjawan yang lebih besar untuk menjadikannya lebih berkesan.
Kerajaan Madani juga sedang memperkenalkan pembaharuan untuk memastikan prestasi GLC dan GLIC lebih baik.
Usaha berterusan
Langkah-langkah ini barangkali menuju ke arah yang betul, namun lebih banyak perlu dilakukan memandangkan betapa besarnya kemudaratan salah urus pentadbiran.
Pertama sekali, setiap kata-kata kerajaan harus disusuli dengan tindakan sewajarnya.
Ini bermakna mempertanggungjawabkan mereka yang salah urus wang awam, sama ada menteri atau ketua GLC.
Selain menonjolkan pelanggaran, mereka yang menjarah negara mesti dikenakan hukuman berat.
Arahan Anwar supaya Khazanah dan PNB disiasat atas kesilapan berhubung FashionValet merupakan langkah sepatutnya dan harus menjadi teladan.
Mengutamakan kepentingan negara bererti harus berani buat keputusan sukar, seperti menamatkan pelantikan politik dalam GLC dan memberi kontrak kepada ahli perniagaan yang mempunyai hubungan politik.
Malangnya, ia tidak ‘semudah’ itu.
Sebagai contoh, jika Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan yang dicadangkan hanya meliputi kementerian dan agensi tetapi tidak terpakai kepada GLIC, GLC dan kerjasama awam-swasta, kerajaan Madani akan terlepas peluang untuk meletakkan ekonomi negara di landasan yang betul lagi bersih.
Masa untuk bertindak
Langkah antirasuah yang berani dalam Belanjawan 2025 berpotensi menjimatkan berbilion ringgit, dan menyalurkan sumber yang dibazirkan kepada rakyat.
Apabila ketirisan dan salah urus dibasmi, Malaysia boleh mengukuhkan ekonomi dan kewangannya, serta memulihkan kepercayaan orang ramai.
Kerajaan telah melakar jalan yang berdaya maju untuk mara. Maka ia harus bertindak tanpa tangguh.