
Ketua Polis Pulau Pinang, Hamzah Ahmad, berkata penganggur berusia 39 tahun itu ditahan di hadapan rumahnya pada 4.15 pagi selepas polis bertindak atas hasil maklumat dan risikan.
“Hasil pemeriksaan terhadap motosikal dipercayai milik lelaki itu menemukan satu beg plastik berisi lima bungkusan mengandungi syabu dianggar seberat 6.1 kilogram dan sebungkus heroin seberat 900g,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, hasil siasatan mempercayai sindiket itu aktif dengan kegiatan itu sejak September tahun lepas dengan menjadikan kawasan sekitar Pulau Pinang sebagai pasaran utama.
Katanya, sindiket itu dipercayai memperoleh bekalan syabu dan heroin daripada rangkaian pengedaran dadah sebelum membungkusnya semula.
Menurutnya, dadah dirampas boleh digunakan 35,000 penagih atau 35,000 kali penggunaan.
“Saringan air kencing mendapati lelaki itu positif terhadap dadah jenis amphetamine, methamphetamine, dan tetrahydrocannabinol (THC). Dia juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.
Lelaki itu direman hingga 9 Jan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.