
Beliau yang juga menteri kewangan berkata keupayaan sesebuah negeri tidak perlu dijadikan alasan untuk projek mendesak itu dilengahkan termasuk tebatan banjir di Rantau Panjang, Kelantan.
“Tak usah bangkit keupayaan negeri (mampu) atau tidak. Saya tak mahu dengar itu, yang saya tahu kita mesti selesaikan dan kerjasama serta perubahan tentunya melibatkan peruntukan kewangan yang besar.
“Kalau perlu potong peruntukan dari tempat lain kita potong untuk kita selesaikan perkara asas yang diperlukan rakyat,” katanya pada perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Beliau mengakui setiap program pembangunan mempunyai unjuran masing-masing mengikut penetapan di bawah Rancangan Malaysia seperti projek tebatan banjir yang terbahagi kepada beberapa fasa sehingga mengambil masa enam tahun.
“Bila KSN (Shamsul Azri Abu Bakar) bicara mengenai tebatan banjir dalam RMK, (contohnya) tahun ini permulaan, tiga tahun lagi fasa kedua… enam tahun lagi fasa ketiga dan saya setuju dalam perbincangan, kita harus rombak itu semua.
“Kalau banjir itu mengorbankan nyawa dan harta jangan tunggu enam tahun lagi… kalau perlu jimat daripada perbelanjaan lain kita jimatkan, kalau perlu kita pinjam, kita pinjam.
“Tapi semua program mendesak seperti kemiskinan tegar, tebatan banjir harus disegerakan dan tidak mengikut unjuran lima hingga enam tahun.”
Tiada skandal besar di bawah kerajaan perpaduan
Anwar mendakwa usaha kerajaan melakukan reformasi di semua peringkat termasuk melaksana proses tender telus memperlihatkan kejayaan apabila tiada skandal besar terpalit di bawah pimpinannya.
“Sementara kita tekankan soal tatakelola yang saya anggap satu kejayaan orang banyak bercerita mengenai kes lama dan saya nak sebut dalam tempoh dua tahun ini, saya syukur kerana kita menjalankan proses tender yang telus dan tidak ada satu pun skandal besar diungkapkan.
“Bagi saya ini kejayaan yang lebih besar, negara ini negara hukum (ada undang-undang) dan kita harus mengambil keputusan berdasarkan tata kelola yang baik,” katanya.