Hormat undang-undang, perlembagaan berkait pengampunan banduan, kata Istana Negara

Hormat undang-undang, perlembagaan berkait pengampunan banduan, kata Istana Negara

Permohonan mengampun dan kurang hukum hendaklah dikemukakan untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan dipengerusikan Agong.

Istana Negara berkata, Agong mempunyai kuasa prerogatif menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi kesalahan di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
PETALING JAYA:
Istana Negara mengingatkan semua pihak agar menghormati perlembagaan dan undang-undang bagi memohon keampunan atau pengurangan hukuman seseorang banduan.

Dalam kenyataan, Istana Negara berkata, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif menurut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi kesalahan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Menurutnya, baginda juga boleh meremit, menggantung atau meringankan hukuman dijatuhkan mahkamah bagi kesalahan tersebut, dengan kuasa itu dijalankan atas nasihat Lembaga Pengampunan dipengerusikannya

“Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan untuk diberi keampunan atau pengurangan hukuman, permohonan berkenaan hendaklah dikemukakan banduan berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan dipengerusikan Agong pada mesyuarat akan datang.

“Semua pihak diingatkan menghormati perlembagaan dan undang- undang ditetapkan,” katanya.

Pada 28 Dis lepas, Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata, permohonan pengampunan termasuk menghabiskan baki hukuman penjara di rumah mana-mana banduan termasuk bekas perdana menteri Najib Razak perlu dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan.

Katanya, permohonan itu perlu dilakukan mengikut tatacara dan saluran ditetapkan, bawah undang-undang, bukannya mana-mana saluran lain.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menggesa semua pihak agar memahamkan dan menerima kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara itu.

“Titah tuanku kena baca, kena hadam, dan kena terima,” katanya kepada pemberita.

Pada 28 Julai 2020, Najib disabit kesalahan oleh Hakim Nazlan Ghazali, yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi kerana salah guna kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah dalam kes SRC International, melibatkan dana berjumlah RM42 juta.

Rayuan di Mahkamah Rayuan ditolak pada 8 Dis 2021.

Najib menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022, sejurus Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya.

Pada 2 Feb tahun lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan bahawa hukuman penjara Najib dalam kes SRC International dihadapinya dikurangkan kepada enam dan dendanya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Isnin ini, Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah addendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini memutuskan Najib gagal membuktikan beliau mempunyai kes yang boleh dipertikaikan untuk mewajarkan pendengaran penuh permohonan semakan kehakiman yang dicadangkannya.

Hakim Amarjeet Singh berkata, kenyataan terkandung dalam afidavit difailkan Najib, Presiden Umno Zahid Hamidi, dan naib presiden parti Wan Rosdy Wan Ismail ialah khabar angin dan tidak boleh diterima sebagai bukti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.