Hantaran jelik terhadap kerabat diraja, lelaki didenda RM10,000

Hantaran jelik terhadap kerabat diraja, lelaki didenda RM10,000

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu menerusi akaun Instagram dengan nama profil 'ogbadboyterryt' pada November 2021.

Tan Yong Hua
Tan Yong Hua mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen mendenda seorang pekerja logistik RM10,000 selepas mengaku bersalah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap kerabat diraja menerusi Instagram, empat tahun lalu.

Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Yong Hua, 42, dan memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Tan didakwa melakukan kesalahan itu menerusi akaun Instagram dengan nama profil ‘ogbadboyterryt’ miliknya di sebuah residensi di Taman U-Thant, Wangsa Maju, antara 6 dan 7 Nov 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah membuat dan menghantar satu hantaran yang disedarinya bersifat jelik dan menghina institusi diraja serta menyebabkan orang ramai yang membacanya berasa marah dan sakit hati.

Analisis dilakukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengesahkan akaun Instagram ‘ogbadboyterryt’itu adalah kepunyaan dan dikendalikan tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat untuk tidak menyentuh isu berkaitan 3R iaitu agama, kaum dan raja.

“Pendakwaan mohon satu hukuman yang keras bagi memberi pengajaran kepada masyarakat untuk tidak menyentuh 3R dalam mengendalikan media sosial, iaitu setiap komen boleh dibaca oleh keseluruhan masyarakat dan membangkitkan kegusaran awam,” katanya.

Tan yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman rendah atas alasan tidak mempunyai pendapatan tetap dan berjanji tidak mengulangi kesilapan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.