Akmal tiada asas sentuh pengampunan Anwar dalam kes Najib, kata penganalisis

Akmal tiada asas sentuh pengampunan Anwar dalam kes Najib, kata penganalisis

Akmal selaku pemimpin utama Umno perlu lebih bijak menilai isu, kata A Aziz Azizam.

Perbuatan Dr Akmal Saleh mencerminkan komitmen Umno pada kerjasama dengan Pakatan Harapan, kata penganalisis.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh tiada asas yang kukuh untuk sentuh proses pengampunan Anwar Ibrahim apabila mengetengahkan kes Najib Razak, kata penganalisis.

A Aziz Azizam daripada Universiti Teknologi Mara berkata Akmal selaku pemimpin utama Umno perlu lebih bijak menilai sesebuah isu, kerana perbuatannya mencerminkan komitmen parti pada kerjasama.

Meskipun perbezaan pendapat bukan perkara luar biasa apabila bekerjasama, katanya isu yang dibangkitkan berpotensi memberi implikasi yang besar pada ukhuwah Barisan Nasional dan Pakatan Harapan yang baru dilihat menemui sinergi.

“Akmal selaku pemimpin muda utama dalam Umno perlu lebih bijak menilai sesebuah isu kerana ianya mencerminkan halatuju komitmen Umno itu sendiri,” katanya kepada FMT.

Menjelang hari Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi 6 Jan ini, berkaitan titah adendum yang dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu, Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan 28 Dis memaklumkan permohonan pengampunan mana-mana banduan yang melakukan kesalahan di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mestilah dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Tambahnya, keputusan Agong atas nasihat lembaga itu tertakluk pada peruntukan undang-undang untuk mengelakkan ia dicabar di mahkamah.

Kemudian pada hari yang sama, Akmal menyoal sama ada pengampunan Anwar pada 2018 dikemukakan kepada lembaga pengampunan.

Perbuatan Akmal mengundang kritikan Ketua Pemuda PKR Adam Adli Abd Halim, yang mengingatkan Akmal bahawa Mahkamah Rayuan pada 2021 membatalkan saman mempertikaikan pengampunan tersebut.

Akmal dalam kenyataan susulan menepis anggapan beliau membuat pertikaian, sambil memuatnaik gambar kenyataan media oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara bertarikh 16 Mei 2018, yang memaklumkan bahawa rayuan pengampunan Anwar dibentangkan dan dipertimbangkan dalam mesyuarat lembaga.

“Beliau (Akmal) tidak mempunyai asas yang kukuh yang mana menyentuh kredibiliti perundangan negara dan perbandingan yang dilakukan adalah tidak seimbang,” ulas Aziz, yang menambah hal pengampunan melibatkan tatacara dan proses yang teliti dan tidak boleh diubah.

“Nak bandingkan Anwar dengan Najib, sekurang-kurangnya Anwar jalani penjara lebih 6 tahun,” katanya.

Urusetia Lembaga Pengampunan, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri pada 2 Feb lalu mengumumkan hukuman penjara ke atas Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda yang perlu dibayar Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib pada Julai 2020, selepas bekas presiden Umno itu didapati bersalah atas masing-masing tiga pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram, serta satu pertuduhan salah guna kedudukan, berkait dana RM42 juta milik SRC International.

“Umno sepatutnya membawa ideologi dan komitmen yang lebih serius. Umno bukannya parti untuk membebaskan seorang banduan,” kata Aziz.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.