196 Rohingya mendarat di Pantai Teluk Yu ditahan

196 Rohingya mendarat di Pantai Teluk Yu ditahan

Kesemua warga asing itu, termasuk 71 kanak-kanak, dipercayai berlepas dengan bot dari Myanmar lebih kurang 10 hari lepas.

Polis menahan 68 lelaki, 57 wanita dan 71 kanak-kanak etnik Rohingya selepas mereka mendarat di Pantai Teluk Yu, Langkawi, awal pagi tadi. (Gambar PDRM)
ALOR SETAR:
Polis menahan 196 etnik Rohingya yang mendarat di kawasan Pantai Teluk Yu, Langkawi, awal pagi tadi.

Ketua Polis Langkawi Shariman Ashari berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira 3.25 pagi bahawa sekumpulan warga asing mendarat di kawasan pantai itu.

“Kereta peronda yang ke lokasi kemudiannya mengesahkan terdapat sekumpulan besar warga asing di lokasi itu bersama sebuah bot yang terdampar di tepi pantai,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, 31 pegawai dan anggota polis yang pergi ke lokasi kemudian menangkap 68 lelaki, 57 wanita dan 71 kanak-kanak.

Menurut Shariman, kesemua warga asing itu dipercayai berlepas dengan bot dari Myanmar lebih kurang 10 hari lepas.

“Kesemua mereka telah dirujuk kepada Jabatan Imigresen Langkawi dan dibawa ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Langkawi untuk proses dokumentasi.

“Saringan kesihatan juga telah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pasukan polis marin juga telah digerakkan untuk mengetatkan kawalan di Teluk Yu dan mengesan kemungkinan wujud baki bot yang menceroboh masuk kawasan perairan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.