Stesen LRT KLCC tutup sementara

Stesen LRT KLCC tutup sementara

Tindakan ini diambil susulan kepulan asap dikesan di bilik peralatan elektronik, menurut Rapid Rail.

suis box lrt klcc terbakar
Stesen LRT KLCC di laluan Kelana Jaya ditutup sementara hari ini susulan kebakaran melibatkan panel kotak suis pam di stesen itu.
PETALING JAYA:
Stesen LRT KLCC di laluan Kelana Jaya ditutup sementara, menurut Rapid Rail hari ini.

Penyedia perkhidmatan LRT itu berkata, tindakan itu diambil ekoran laporan awal terdapat kepulan asap dikesan di bahagian bilik peralatan elektronik yang terletak di dalam stesen.

Justeru, penumpang disarankan menggunakan Stesen Persiaran KLCC dan Stesen Ampang Park untuk meneruskan perjalanan mereka.

“Perkhidmatan bas perantara percuma turut disediakan di antara Stesen Ampang Park, Stesen KLCC dan Stesen Dang Wangi,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Rapid Rail, pihak bomba sedang berada di lokasi kejadian dan pengguna disarankan untuk bertenang dan mematuhi segala arahan petugas operasi stesen.

Sementara itu, menurut Komander Operasi Bomba II Mohamed Azimin Zahidi, pasukan bomba di lokasi kejadian mendapati kebakaran melibatkan panel kotak suis pam.

“Api telah dipadamkan oleh pasukan ERT KLCC sebelum pasukan bomba tiba. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Tiada mangsa yang terlibat dan keadaan terkawal, tambahnya.

Terdahulu, warganet melaporkan melihat jentera bomba di luar pusat beli-belah Avenue K, lokasi stesen LRT itu, dan pintu masuk ke stesen itu juga dilaporkan ditutup.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.