APAD kekal kompaun RM100,000 terhadap Rapid Rail susulan insiden LRT bertembung

APAD kekal kompaun RM100,000 terhadap Rapid Rail susulan insiden LRT bertembung

Tindakan punitif itu kekal selepas siasatan mendapati berlaku kepincangan penyelenggaraan sehingga pengendali berlesen gagal memastikan jajaran landasan selamat.

rapidKL
Pada 24 Mei 2021, dilaporkan 213 penumpang cedera, 47 daripadanya cedera parah akibat insiden tren LRT bertembung dari arah Gombak dan Kelana Jaya.
PETALING JAYA:
Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengekalkan tindakan kompaun RM100,000 ke atas Rapid Rail Sdn Bhd susulan pelanggaran Seksyen 101(10) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) berkaitan insiden tren bertembung berhampiran Stesen LRT KLCC pada 24 Mei 2021.

APAD berkata tindakan punitif itu dikekalkan selepas siasatan mendapati berlaku kepincangan penyelenggaraan sehingga pengendali berlesen gagal memastikan jajaran landasan berada dalam keadaan selamat untuk operasi.

Kegagalan itu, menurut agensi berkenaan, menyebabkan tren tidak dapat dikendalikan dengan selamat sehingga mencetuskan insiden yang membabitkan 213 penumpang, dengan 65 daripadanya dilaporkan cedera.

“APAD menegaskan bahawa keselamatan operasi pengangkutan awam darat merupakan keutamaan tertinggi dan tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan.

“Tindakan penguatkuasaan ini bukan sahaja sebagai langkah pematuhan undang-undang, malah sebagai peringatan tegas kepada semua pengendali perkhidmatan kereta api agar sentiasa memastikan penyelenggaraan dilaksanakan mengikut piawaian teknikal yang ditetapkan serta latihan mencukupi diberikan kepada kakitangan yang terlibat,” katanya dalam kenyataan.

APAD berkata keputusan mengenakan kompaun itu turut mengambil kira kepentingan awam serta prinsip akauntabiliti bagi memastikan integriti sistem pengangkutan rel negara terus terpelihara.

Menurutnya, semua pengendali rel juga diingatkan supaya memastikan latihan mencukupi diberikan kepada kakitangan yang terbabit dalam operasi dan penyelenggaraan.

Agensi itu menegaskan akan terus memperkukuh aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan setiap pengendali mematuhi sepenuhnya keperluan perundangan, operasi serta standard keselamatan yang ditetapkan.

“APAD akan terus komited untuk memperkukuhkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan setiap pengendali mematuhi sepenuhnya keperluan perundangan, keperluan operasi dan standard keselamatan yang telah ditetapkan,” katanya.

Pada 24 Mei 2021, dilaporkan 213 penumpang cedera, 47 daripadanya cedera parah akibat tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang bertembung dari arah Gombak dan Kelana Jaya.

Rapid Rail dan syarikat induknya, Prasarana Malaysia Bhd, telah disaman oleh beberapa penumpang yang mengalami kecederaan akibat kemalangan itu atas dakwaan kecuaian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.