Stesen LRT KLCC kembali beroperasi susulan kebakaran kecil

Stesen LRT KLCC kembali beroperasi susulan kebakaran kecil

Stesen di laluan Kelana Jaya itu membenarkan penumpang masuk secara berperingkat sejak 5.52 petang tadi.

lrt klcc
Rapid Rail berkata, kebakaran kecil di Stesen LRT KLCC petang tadi menyebabkan kerosakan pada panel kawalan di dalam bilik loji penghawa dingin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Stesen LRT KLCC kembali beroperasi mulai 5.52 petang tadi setelah ditutup sementara ekoran kebakaran kecil.

Rapid Rail Sdn Bhd berkata, susulan pembukaan kembali stesen, penumpang dibenarkan masuk secara berperingkat, dengan pergerakan dikawal petugas stesen bagi mengelakkan kesesakan.

“Dalam insiden pada 3.51 petang tadi, kebakaran kecil berlaku menyebabkan kerosakan pada panel kawalan di dalam bilik loji penghawa dingin,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

“Petugas stesen berjaya mengawal dan memadam kebakaran tersebut. Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada 4.24 petang bagi menyiasat punca kebakaran.”

Susulan penutupan stesen itu tadi, penumpang disarankan menggunakan Stesen Persiaran KLCC dan Stesen Ampang Park untuk meneruskan perjalanan, dan perkhidmatan bas perantara percuma disediakan di antara Stesen Ampang Park, Stesen KLCC dan Stesen Dang Wangi.

Dalam kenyataan malam ini, Rapid Rail berkata, walaupun stesen sudah kembali beroperasi, perkhidmatan bas perantara percuma masih disediakan bagi melancarkan pergerakan penumpang.

“Sebagai pilihan alternatif, penumpang juga boleh menaiki tren dari Stesen Ampang Park dan Kampung Baru (laluan Kelana Jaya); Stesen Ampang Park dan Persiaran KLCC (laluan Putrajaya); dan Stesen Bukit Nanas (laluan Monorel KL).”

Terdahulu, Rapid Rail memaklumkan Stesen LRT KLCC di laluan Kelana Jaya ditutup sementara ekoran laporan awal terdapat kepulan asap dikesan di bahagian bilik peralatan elektronik yang terletak di dalam stesen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.