
Notis dikeluarkan pada 27 Sept tahun lalu menuntut pembayaran RM2.56 juta bagi 2017, RM2.44 juta untuk 2018, dan RM16,826.37 bagi 2019.
Mukhriz mendakwa LHDN membuat ‘pengiraan salah’ terhadap liabiliti cukainya.
“LHDN menganggap tindakan pemohon (Mukhriz) menjual saham dalam Opcom Holdings Bhd dan dividen yang diterima daripada M Ocean Capital Sdn Bhd sebagai pendapatan bercukai,” kata Mukhriz, sambil menambah penjualan saham dan dividen tidak sepatutnya dikenakan cukai.
Beliau juga berkata, notis untuk tunggakan cukai 2017 dan 2018 dikeluarkan lebih lima tahun selepas tarikh akhir bagi pemfailan cukai tahunan.
“Sebarang notis tunggakan cukai tambahan hanya boleh dikeluarkan selepas lima tahun sekiranya pembayar cukai (didapati) melakukan penipuan atau kelalaian (dalam pengisytiharan mereka kepada LHDN).
“Bagaimanapun, LHDN tidak memberikan butiran mengenai perkara itu,” tambah Mukhriz.
Beliau seterusnya mendakwa bahawa perselisihan lama antara bapanya, Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, mungkin telah ‘menyumbang’ kepada pengeluaran notis itu.
Mukhriz berkata pada 2023, Anwar membuat beberapa kenyataan buruk secara terbuka mengenai Mahathir dan keluarganya, dengan mendakwa bekas perdana menteri itu telah ‘memperkayakan’ anak-anaknya semasa mula memegang jawatan.
Dia mendakwa bahawa kenyataan itu dibuat untuk mencemarkan kredibiliti bapanya dan sebagai tindakan membalas dendam. Saman fitnah yang dibawa oleh Mahathir terhadap Anwar sedang berjalan di Mahkamah Tinggi yang lain.
Peguam Nizamuddin Abdul Hamid mewakili Mukhriz manakala Peguam Kanan Persekutuan Wan Shahida Wan Omar mewakili kerajaan.