
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata mereka yang menyelesaikan saman dalam tempoh itu tidak akan dikenakan pengumpulan mata demerit.
Bagaimanapun, Loke memberi amaran, mereka yang gagal menyelesaikan saman sebelum 30 Jun tidak akan dibenar memperbaharui cukai jalan atau lesen memandu.
“Ketika ini ada kira-kira dua juta saman tertunggak, dengan sebahagian dari September 2018 lagi.
“Tempoh ini adalah peluang kepada pesalah untuk membersihkan rekod mereka dengan kadar khas,” katanya ketika merasmikan pejabat baharu JPJ di Putrajaya.
Beliau berkata, ramai pengguna jalan raya tidak menyedari mereka disenarai hitam akibat saman tertunggak.
Kadar rata khas itu melibatkan tiga kategori saman iaitu saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS), Notis Temu Siasat dan Notis Saman Tampal.
Loke berkata, pembayaran boleh dilakukan melalui pelbagai saluran antaranya di kaunter JPJ, portal awam, kios JPJ, kaunter mobile JPJ serta aplikasi myJPJ.
Bagaimanapun, pembayaran saman dengan kadar khas itu tidak boleh dibuat menerusi saluran MyEG dan di Pos Malaysia.
Sementara itu, Loke mengumumkan nombor pendaftaran istimewa siri FG bagi Putrajaya dibuka untuk bidaan sempena pembukaan cawangan pejabat baharu JPJ.
Katanya, langkah itu bukan saja menambah hasil JPJ, tetapi membuka peluang kepada orang ramai memiliki nombor istimewa pada kenderaan mereka.
Bidaan itu akan dibuka mulai hari ini melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) hingga Isnin.