
Pengurusan The Pinkfish berkata, keselamatan pengunjung dan pemegang taruh lain sentiasa dijadikan keutamaan dalam mengadakan konsert itu.
Penganjur memaklumkan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan berkait kematian yang dilaporkan.
“(Kami) ambil maklum pengesahan polis berhubung kematian berlaku di luar pekarangan premis acara.
“Kami bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan untuk menyediakan sokongan diperlukan kepada mereka yang terjejas, termasuk keluarga si mati,” katanya dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu, pihak pengurusan telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk acara, termasuk kehadiran lebih 100 anggota polis selain anggota keselamatan, dan Unit K9 di pintu masuk.
Katanya, pihaknya juga mendoakan keluarga empat mangsa terkesan agar tabah melalui masa sukar ini.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata pihaknya menerima empat laporan daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berhubung empat kematian melibatkan dua lelaki dan dua wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun.
Katanya, hasil pemeriksaan terhadap semua mangsa mendapati tiada kecederaan luaran dikesan.
Beliau berkata, siasatan mendapati mereka menghadiri Konsert Pinkfish di Sunway Lagoon, Subang Jaya, pada 31 Dis.
Hussein berkata, kes diklasifikasikan kematian mengejut (SDR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau keracunan.