Jangan mudah gambarkan kami pertikai proses, Pemuda Kelantan pertahan Akmal

Jangan mudah gambarkan kami pertikai proses, Pemuda Kelantan pertahan Akmal

Ketua Pemuda Umno Kelantan kata Pemuda PKR Kelantan nampak tidak faham perbezaan 'mempertikai' dan 'bertanya soalan'.

Ketua Pemuda Umno Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani kata partinya akan bersuara jika ada perkara yang ia rasakan tidak kena dilakukan oleh kerajaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemuda Umno Kelantan menggesa rakannya dalam PKR supaya jangan terlalu mudah menggambarkan isu yang ia bangkitkan sebagai menjurus pada mempertikaikan mana-mana proses.

Ia menolak gesaan Pemuda PKR Kelantan yang mahu pemimpin pusat sayap itu, Dr Akmal Saleh, membuat permohonan maaf secara terbuka selepas didakwa mempertikai proses pengampunan Anwar Ibrahim pada 2018.

“Mempertikai dan bertanya soalan adalah dua perkara yang cukup berbeza. Pemuda PKR Kelantan nampak tidak faham perbezaan tersebut,” kata ketuanya, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, kepada FMT.

Akmal menyorot perhatian kepada pengampunan Anwar susulan kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 28 Dis, memaklumkan permohonan pengampunan mana-mana banduan yang melakukan kesalahan di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mestilah dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Kenyataan AGC muncul di sebalik usaha mengadakan himpunan bagi menunjukkan sokongan kepada bekas presiden Umno, Najib Razak, yang akan tampil ke Mahkamah Rayuan pada 6 Jan berhubung rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah adendum yang dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu.

Menurut AGC, cadangan untuk mana-mana banduan, termasuk Najib untuk menghabiskan baki tempoh hukuman dengan tahanan di rumah, hendaklah dikemukakan untuk dipertimbangkan oleh lembaga dipengerusikan oleh Agong itu.

Susulan penerbitan kenyataan tersebut, Akmal mengacukan persoalan sama ada pengampunan diraja Anwar, yang juga presiden PKR pada 2018, dikemukakan kepada lembaga pengampunan.

Pada 29 Dis, Akmal berkata persoalannya mengenai pengampunan Anwar telah dijawab, sambil memuatnaik gambar kenyataan media oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara bertarikh 16 Mei 2018 yang memaklumkan rayuan Anwar dibentangkan dan dipertimbangkan dalam mesyuarat lembaga.

Keesokannya, Ketua Pemuda PKR Kelantan, Ezzat Hanuzi, dalam gesaannya kepada Akmal menggesa pemimpin Umno itu menunjukkan rasa hormat dan setia kawan kepada rakan politik yang bersama membentuk kerajaan perpaduan.

Azmawi hari ini meminta Pemuda PKR Kelantan jangan gunakan kerjasama dalam kerajaan perpaduan sebagai ‘alasan untuk menutup mata kami’.

“Kerajaan ini adalah kerajaan yang dibina atas menjunjung titah Tuanku Agong dan BN sedang laksanakan dengan sebaiknya, tapi jika ada apa-apa perkara yang pada kami rasakan tidak kena dilakukan oleh kerajaan, jangan haraplah kami berdiam diri,” katanya.

Semalam, bekas peguam negara, Abu Talib Othman berkata kenyataan AGC selaras peruntukan pengampunan yang terkandung dalam Perlembagaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.