Elak ditahan dengan dadah, 2 termasuk wanita rempuh polis

Elak ditahan dengan dadah, 2 termasuk wanita rempuh polis

Wanita dipercayai warga Singapura itu ditahan bersama penumpang lelaki warga tempatan di kawasan Simpang Renggam di Kluang, tengah malam kelmarin.

M KUMAR
Menurut Ketua Polis Johor M Kumar, pihaknya turut melakukan dua serbuan berasingan dengan merampas dadah bernilai RM54,831 susulan penahanan dua suspek terbabit. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua anggota polis cedera akibat dirempuh kereta dipandu wanita dipercayai warga Singapura di kawasan Jalan Persiaran Alif Harmoni, Johor Bahru, tengah malam kelmarin.

Ketua Polis Johor, M Kumar, berkata kejadian berlaku ketika sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Johor Bahru Selatan membuat pemantauan penugasan Ops Tapis di kawasan Jalan Tampoi, Taman Seri Bahagia, di sini.

Katanya, polis mengesan sebuah Perodua Axia berwarna kelabu dipandu dalam keadaan mencurigakan dan mengekori rapat kenderaan itu sehingga ke kawasan terbabit.

“Ketika cuba menghampiri kenderaan suspek untuk pemeriksaan, kereta terbabit tiba-tiba dipandu secara merbahaya sehingga merempuh dua anggota polis menyebabkan kedua-duanya terjatuh dan cedera.

“Meskipun diarah berhenti, ia terus dipandu laju menghala lebuh raya Pasir Gudang, sambil dikejar anggota sehingga ke Lebuhraya Pesisir Pantai Iskandar dan Lebuhraya Link Kedua.

“Suspek turut merempuh palang tol di kawasan plaza tol Senai Utara sebelum memasuki Lebuhraya Utara Selatan menghala utara untuk mengelak ditangkap,” katanya dalam kenyataan semalam, menurut Berita Harian.

M Kumar berkata suspek akhirnya berjaya ditahan kawasan Simpang Renggam di Kluang selepas kereta peronda polis (MPV) dari IPD Kulai dan Kluang digerakkan untuk bantuan.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati kereta itu dipandu wanita berusia 38 tahun dengan dengan seorang penumpang lelaki warga tempatan berusia 49 tahun.

“Pemeriksaan menemukan beberapa bungkusan plastik berisi bahan disyaki dadah berbahaya dalam kenderaan.

“Bertindak atas maklumat tangkapan, dua serbuan berasingan dilakukan di kawasan Johor Bahru dengan polis merampas pelbagai jenis bahan disyaki dadah.

“Saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine dan semakan rekod mendapati lelaki warga tempatan mempunyai pelbagai rekod dadah dan jenayah serta satu rekod dikehendaki,” katanya.

Beliau berkata hasil operasi, pihaknya melakukan rampasan dadah dengan anggaran nilai keseluruhan RM54,831 termasuk ganja, syabu, serbuk ekstasi, heroin dan pil nitrazepam.

“Kedua-dua suspek direman enam hari sehingga 5 Jan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, selain Seksyen 307 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.