
Katanya lagi, Malaysia akan perolehi penghormatan sebagai negara yang berdaulat, merdeka, dan bertanggungjawab apabila perpaduan diperkukuhkan, tatakelola dimantapkan, serta ketirisan dan rasuah dibanteras.
“Sebelum kita melangkau ke rantau dan ke pasaran antarabangsa negara harus teratur dengan baik,” katanya dalam ucapan sempena Tahun Baharu.
Anwar berkata tanggungjawab yang diberi kepada Malaysia sebagai pengerusi Asean merupakan suatu penghormatan dan tugas yang besar, dan peluang untuk membina lembaran baru dalam agenda serantau dan global.
“Kerumitan landskap global saat kini menuntut Asean untuk melakar peranan dan pengarahan baharu,” katanya.
Sementara itu, Anwar menyorot perhatian kepada pelbagai dasar yang diperkenalkan pentadbirannya tahun ini, mengakui ada antaranya tidak popular atau lekas membuahkan hasil.
“Semua ini dilaksanakan dengan tekad politik yang jelas, dengan niat ikhlas serta penilaian yang teliti untuk memastikan dasar-dasar tersebut ini memberi manfaat kepada rakyat terbanyak,” katanya, mengambil penyasaran subsidi diesel sebagai contoh.
Anwar menegaskan bahawa keadaan ekonomi semasa harus ditangani dengan bijak kerana ia juga melibatkan apa yang belum diduga, atau parah seperti musibah banjir yang berlaku mutakhir ini.
Perdana menteri beri jaminan segala usaha akan terus dijalankan di semua negeri bagi memastikan bantuan sampai dengan segera, dan kerja pemulihan akan diselenggara oleh semua agensi kerajaan persekutuan dengan kerjasama jentera negeri.