PKR Sabah lemahkan ketua sendiri dalam pemilihan PH, kata penganalisis

PKR Sabah lemahkan ketua sendiri dalam pemilihan PH, kata penganalisis

Pencalonan Christina Liew dan bukannya Mustapha Sakmud dilihat mengancam kepimpinan parti negeri serta mengasingkan penyokong Mustapha.

christina liew mustapha sakmud
Christina Liew dicalonkan dalam pemilihan jawatan pengerusi PH Sabah, bukannya Ketua PKR Sabah Mustapha Sakmud.
PETALING JAYA:
PKR Sabah nampaknya melemahkan Ketua baharunya, Mustapha Sakmud apabila mencalonkan Christina Liew bagi pemilihan jawatan pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah baru-baru ini, menurut penganalisis politik.

Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah mempertikaikan sebab Mustapha tidak dicalonkan ketika perkara itu di peringkat undian dalaman. Menurutnya, pencalonan Liew dan bukannya Mustapha mampu melemahkan kepimpinan dalaman serta mengasingkan penyokong Mustapha.

Liew kalah tipis kepada Presiden Upko, Ewon Benedick untuk jawatan itu yang disandangnya sejak 2017.

Bilcher berkata, kecenderungan memilih Liew memberi gambaran PKR Sabah tidak menghormati perubahan kepimpinannya sendiri.

“Rasa tidak puas hati ini mampu membawa kepada pertelingkahan dalaman, menghakis keyakinan terhadap keupayaan PH mentadbir dengan berkesan ketika PRN semakin hampir,” katanya kepada FMT.

Mustapha, yang juga timbalan menteri pendidikan tinggi di peringkat persekutuan, dilantik ketua PKR Sabah baharu Mei lalu. Beliau menggantikan Sangkar Rasam yang digesa meletak jawatan oleh 15 daripada 26 ketua bahagian PKR, termasuk Liew.

Liew berdepan masalah sama pada Disember 2021, apabila 17 ketua bahagian menggesa beliau disingkirkan sebagai ketua PKR Sabah atas alasan kemerosotan pengaruh parti itu di negeri berkenaan.

Hilang keyakinan

Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre berkata, kekalahan Liew kepada Ewon menggambarkan rakan PH hilang keyakinan terhadapnya dan penolakan atas kepimpinannya.

Menurutnya, pemilihan Ewon menunjukkan Upko dan DAP tidak memihak kepada Liew, manakala Amanah serta PKR nampaknya berbelah bagi. Beliau berkata, Liew gagal mengukuh dan menyatukan PH Sabah, khususnya ketika PRN 2020.

“Kepimpinannya sudah lapuk,” katanya sambil menggesa Liew menarik diri daripada pemilihan pengerusi PH Sabah.

Sebelum ini, Liew dilaporkan berkata, perbincangan sedang diadakan dengan pemimpin PKR pusat dan negeri berhubung kemungkinan beliau kembali menerajui PH Sabah.

Hisomuddin berkata, “apa yang diperlukan gabungan itu ialah formula baharu bagi mencabar dominasi slogan ‘Sabah untuk Sabahan’ dalam pilihan raya akan datang”, tidak kira siapa yang dipilih mengetuai PH Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.