Pekerja Kawaguchi ‘dipaksa’ pindah kerja, dakwa aktivis

Pekerja Kawaguchi ‘dipaksa’ pindah kerja, dakwa aktivis

Andy Hall berkata ramai menerima kerja baharu namun dikatakan tidak boleh berunding terma pekerjaan.

kawaguchi protest
Kebanyakan pekerja asing terkesan telah keluar dari asrama penginapan. (Andy Hall pic)
PETALING JAYA:
Sebahagian besar pekerja asing Kawaguchi Manufacturing Sdn Bhd yang belum menerima tunggakan gaji tujuh bulan dikatakan “dipaksa” menerima kerja di syarikat lain, dakwa aktivis hak asasi manusia Andy Hall.

Beliau memberitahu FMT, pekerja berkenaan ditemuduga semalam oleh sekurang-kurangnya enam syarikat di kilang tersebut, yang berada di Pelabuhan Klang, namun tidak berada pada kedudukan untuk berunding terma pekerjaan.

Hall mendakwa, pekerja terbabit menandatangani dokumen tertentu, dipercayai kontrak pekerjaan, namun tidak diberikan sebarang salinan.

“Pekerja terbabit tidak diberikan terma dan syarat pekerjaan, dan tiada maklumat lain tersedia,” katanya sambil menambah pekerja dibiarkan tanpa apa jua pilihan, tetapi mengambil sahaja peluang kerja diberikan.

Hall berkata, kebanyakan pekerja terjejas diberikan pekerjaan dengan pelbagai syarikat dan diminta meninggalkan asrama mereka pada hari sama.

Katanya, sejumlah 82 pekerja diambil oleh syarikat perladangan di Cameron Highlands, dan dijangka dipindahkan ke tempat kerja baharu hari ini.

Hanya 18 pekerja kekal di asrama di Pelabuhan Klang, menunggu penerbangan balik ke Bangladesh.

“Mereka (syarikat dan pihak berkuasa) datang pada sebelah pagi (semalam). Kami terkejut. Kami tidak tahu syarikat apa mereka dihantar bekerja, atau apa kontrak dan gaji mereka,” kata Hall.

Beliau juga mendakwa telah berjaya mendapatkan tiga syarikat pembuatan elektronik dan sarung tangan yang diperakui antarabangsa untuk menghantar permintaan rasmi kepada Jabatan Buruh, menyatakan minat mengambil pekerja terkesan, namun dakwanya permintaan tersebut tidak diambil tindakan.

Hall berkata, pekerja dalam situasi takut akan dieksploitasi sekali lagi.

“Mereka tidak selesa menerima kerja baharu memandangkan tiada kertas perjanjian disediakan,” katanya dengan menambah pekerja berkenaan tidak mempunyai pilihan dalam perkara itu.

Pada 18 Dis, dilaporkan Kawaguchi bersetuju membayar tunggakan gaji 251 pekerja asing dengan Pejabat Buruh Putrajaya bersetuju mengatur mereka untuk diambil kerja syarikat lain.

Syarikat itu mencapai persetujuan berkenaan lima hari selepas pekerja mengadakan bantahan aman di pekarangan kilangnya menuntut tunggakan gaji.

FMT telah cuba berhubung dengan Menteri Sumber Manusia Steven Sim bagi mendapatkan penjelasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.