
Katanya, pekerja senior memulakan kerjaya dengan mendapat gaji serendah RM500 sebulan dan selepas 20 hingga 30 tahun, gaji mereka kini sekitar RM1,600 sahaja – lebih kurang sama paras pekerja baharu dengan gaji minimum RM1,500 sekarang.
“Kami mencadangan kerajaan Madani menambahkan satu bahagian baru ‘penyelarasan gaji’ dalam Perintah Gaji Minimum yang akan datang.
“Setiap kali gaji minimum dinaikkan, gaji pekerja-pekerja yang lebih tinggi daripada gaji minimum tetapi di bawah had tinggi golongan B40 (RM5,250) harus dinaikkan dengan kadar sama dengan kadar kenaikan gaji minimum,” kata kesatuan itu dalam kenyataan bersama.
Mereka berkata, sebagai contoh gaji minimum RM1,500 akan meningkat kepada RM200, atau 13.3% kepada RM1,700 pada 2025.
“Jika penyelarasan gaji dilaksanakan, golongan pekerja bergaji antara RM1,500 dan RM5,250 juga berhak kepada kenaikan gaji 13.3%. Selepas penyelarasan gaji tersebut, seorang pekerja senior bergaji RM1,600 akan menjadi RM1,813,” katanya.
Antara yang menandatangani kenyataan itu adalah Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Perusahaan Alat-alat Pengangkutan dan Sekutu (NUTEAIW), Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Utara Semenanjung Malaysia (KSIEWUSM/EIEUNR), termasuk di Selatan serta Barat.
Kesatuan Sekerja Perusahaan Perladangan Sabah, selain Persatuan Pembela Wanita Pulau Pinang dan Tenaganita.
Ditanya siapa berhak mendapat penyelarasan gaji seperti dicadang, Gopal Kishnam Nadesan dari NUTEAIW memberitahu FMT, ia sepatutnya terpakai kepada mereka berpengalaman kerja 20 tahun dan ke atas.
Sejumlah kesatuan sekerja itu memaklumkan, pekerja senior kecewa tidak menerima penyelarasan gaji walaupun pelaksanaan gaji minimum baharu RM1,700 pada 2025.
Mereka berkata, majikan enggan menaikkan gaji pekerja dengan alasan syarikat tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi.
Katanya, pembaharuan dasar gaji minimum itu adalah paling ‘straight forward’ untuk membantu pekerja senior menghadapi masalah gaji terbantut.
“Langkah ini akan memberi bantuan besar kepada keluarga-keluarga di bawah paras miskin tegar dan di dalam kategori B40,” katanya sambil menambah ia selaras sasaran kerajaan meningkatkan bahagian pendapatan pekerja daripada 32% kepada 45% menjelang 2033.