Lagi kuat bidas lagi ramai turun, Akmal beritahu LGE

Lagi kuat bidas lagi ramai turun, Akmal beritahu LGE

Pemuda Umno bidas Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng yang mengkritik Umno kerana berganding bahu dengan PAS.

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh kata himpunan 6 Jan ini tidak ada kena mengena dengan kerajaan perpaduan.
PETALING JAYA:
Pemuda Umno membidas Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng susulan kritikan pemimpin DAP itu berhubung himpunan solidariti bersama Najib Razak 6 Jan ini.

Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh ‘janji’ lebih ramai orang akan menyertai himpunan tersebut sekiranya Lim membidas Umno.

“Kamu siapa nak bidas Umno? Kamu siapa nak arahkan Umno? Lagi kuat kamu bidas Umno saya janji lagi ramai orang akan turun berhimpun,” katanya dalam video di Facebook.

Terdahulu, Lim pada sidang media membidas Umno kerana berganding bahu dengan PAS mengadakan perhimpunan solidariti untuk Najib.

Lim, yang juga pengerusi DAP, berkata ia akan menimbulkan keraguan tentang keikhlasan Umno menjadi rakan kongsi dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Perhimpunan pimpinan PAS itu akan diadakan pada hari yang sama Mahkamah Rayuan mendengar permohonan Najib mengenai perintah tambahan yang didakwa meletakkannya di bawah tahanan rumah.

Ia merupakan kali pertama Umno dan PAS bersama sejak Muafakat Nasional berakhir pada 2022.

Mengulas lanjut, Akmal beritahu Lim bahawa himpunan itu tidak ada kena mengena dengan kerajaan perpaduan.

“Ini himpunan hanyalah untuk solidariti Najib Razak,” katanya.

Sebelum ini FMT melaporkan penganalisis percaya himpunan anjuran PAS itu tiada kena mengena dengan menentukan bekas presiden Umno itu dapat keadilan tetapi untuk raih manfaat politik.

Ahli majlis kerja tertinggi Umno, Puad Zarkashi, berkata himpunan itu membuktikan Najib, yang juga bekas perdana menteri, mempunyai aura dalam kalangan ahli PAS.

Sementara itu, Puad dalam kenyataan terbaharu berkata Umno tidak pernah berbincang atau mahu bekerjasama dengan PAS menganjur solidariti itu.

“Umno sudah merancang lebih awal sebelum PAS keluar surat meminta ahlinya hadir perhimpunan tersebut,” katanya di Facebook.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.