
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan oleh tertuduh, Aiman Abdullah, 39, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan berikutan kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kematian lelaki, P Saravanan, 45, di bawah jambatan berhampiran Jalan Tun Sambathan di Brickfields sekitar 10 malam, 23 November lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh digantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang 12 kali sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 19 Feb depan untuk sebutan semula kes.
Polis pada mulanya mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut. Ia diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh selepas bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan akibat objek tumpul di kepalanya.
Siasatan polis mendapati, hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati tertuduh melakukan perbuatan itu yang membawa penahanannya pada 19 Dis.