Warisan halang ahli sertai himpunan Gempur Rasuah Sabah

Warisan halang ahli sertai himpunan Gempur Rasuah Sabah

Ketua Penerangan Warisan Mohd Azis Jamman berkata, penggunaan logo parti dalam himpunan itu esok turut dilarang.

Ketua Penerangan Warisan Mohd Azis Jamman berkata, ahli parti itu dilarang menyertai himpunan Gempur Rasuah Sabah di Kota Kinabalu esok. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Warisan menghalang mana-mana ahlinya menyertai perhimpunan Gempur Rasuah Sabah yang dijadual berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah, esok.

Ketua Penerangan Warisan Mohd Azis Jamman berkata, penggunaan logo parti dalam perhimpunan itu turut dilarang.

“Ahli parti Warisan tidak dibenarkan menyertai perarakan ini atas kapasiti sebagai ahli parti dan penggunaan logo Warisan adalah dilarang sama sekali,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini dilaporkan polis menolak penganjuran perhimpunan tersebut, yang dijadual diadakan di hadapan Menara Kinabalu, bagi menjaga ketenteraman awam di negeri itu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun berkata, polis menolak perhimpunan itu ‘berdasarkan keadaan tidak memenuhi syarat untuk diadakan di kawasan itu’, yang juga menjadi lokasi penganjuran Karnival Ria oleh kerajaan negeri pada hari sama.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan berkenaan.

Bagaimanapun, penganjurnya, Sekretariat Gempur Rasuah Sabah, berikrar untuk meneruskan acara itu walaupun tidak dibenarkan

Katanya lagi, mereka juga akan membuat laporan polis terhadap Jauteh kerana mengelirukan orang ramai, serta tidak menolak kemungkinan membawa perkara itu ke mahkamah.

Perhimpunan bertujuan menyuarakan bantahan terhadap krisis rasuah yang didakwa mencemarkan maruah negeri itu dijangka menarik kehadiran hingga 10,000 peserta dari seluruh negara, menurut penganjurnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.