
Ketua Pemuda PKR Kelantan, Ezzat Hanuzi, juga mendesak Akmal membuat permohonan maaf secara terbuka kerana mempertikai proses pengampunan itu memandangkan ia sudah diselesaikan secara sah oleh Lembaga Pengampunan dan Mahkamah Persekutuan.
Katanya, rayuan pengampunan penuh Anwar dibentangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-51 pada 16 Mei 2018 mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan mendapat perkenan Sultan Muhammad V iaitu Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

“Proses tersebut telah dijalankan dengan telus serta mematuhi semua prosedur perundangan. Akmal sepatutnya menghormati proses-proses sah oleh badan kehakiman tertinggi negara dan tidak menimbulkan kekeliruan awam.
“Sebagai ahli politik, beliau sepatutnya bertanggungjawab memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara, bukannya merosakkan kepercayaan tersebut,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu, menurut Utusan Malaysia.
Terdahulu, media melaporkan Akmal melalui Facebook miliknya dikatakan mempersoal pengampunan diraja diperoleh Anwar dan sejauh mana proses itu dibawa kepada Lembaga Pengampunan.
Sementara itu, Ezzat menggesa Akmal menunjukkan rasa hormat dan setia kawan terhadap rakan serta parti politik yang bersama membentuk kerajaan perpaduan.
Katanya, kenyataan Adun Merlimau itu mencerminkan sikap tidak matang yang mencemarkan semangat kerjasama serta perpaduan diusahakan bersama.