Fahmi Reza ditahan polis Sabah

Fahmi Reza ditahan polis Sabah

Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun mengesahkan penahanan pereka grafik yang juga aktivis itu.

fahmi reza
Terdahulu, Fahmi Reza berkata dia dalam perjalanan ke balai polis Kota Kinabalu untuk disoal siasat.
PETALING JAYA:
Pereka grafik kontroversi yang juga aktivis Fahmi Reza ditahan polis di Penampang, Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun mengesahkan Fahmi ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

“Fahmi akan dibawa ke mahkamah esok untuk mendapatkan perintah reman,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Fahmi berkata berkata dia dalam perjalanan ke balai polis untuk disoal siasat polis Kota Kinabalu berkait satu poster karikatur terbarunya yang ditampal di bandar itu.

“Kalau aku tak update sebelum jam 8 malam maknanya aku tidur lokap malam ini,” katanya di X.

Fahmi berkata dia disiasat kerana menghasut, salah guna kemudahan rangkaian dan kerana berkelakuan mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.

Pada Jumaat lalu, sebuah NGO membuat laporan polis terhadap Fahmi kerana didakwa menghina institusi diraja berhubung perlantikan Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah yang baharu.

Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) juga menggesa Fahmi yang ketika ini berada di Sabah, dibawa pulang ke Semenanjung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.