Wanita Bersatu lapor polis berkait kandungan ‘viral’ berhubung keputusan kes Yeoh saman Musa

Wanita Bersatu lapor polis berkait kandungan ‘viral’ berhubung keputusan kes Yeoh saman Musa

Wanita Bersatu mahu polis segera menjalankan siasatan menyeluruh terhadap 'tindakan dan agenda' Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Nolee Ashilin Radzi
Naib Ketua Wanita Bersatu Nolee Ashilin Mohammed Radzi mahu Perdana Menteri Anwar Ibrahim pecat Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
PETALING JAYA:
Wanita Bersatu membuat laporan polis di seluruh negara secara serentak berkait suatu kandungan tular di media sosial berhubung keputusan mahkamah dalam saman fitnah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, terhadap bekas ketua polis negara, Musa Hassan.

Naib Ketua Nolee Ashilin Mohammed Radzi dalam kenyataan berkata Wanita Bersatu mahu polis segera menjalankan siasatan menyeluruh terhadap ‘tindakan dan agenda’ Yeoh.

Wanita Bersatu juga mahu Kementerian Dalam Negeri untuk segera mengharamkan buku ‘Becoming Hannah, a Personal Journey’, sebuah autobiografi yang diterbitkan Yeoh.

Wanita Bersatu juga mahu Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk segera memecat Yeoh daripada Jemaah Menteri, mendakwa atas tindakan yang dikatakan melanggar prinsip tata kelola.

“Sekiranya gesaan kami ini tidak mendapat maklum balas, kami akan melakukan tindakan selanjutnya demi mempertahankan kesucian Islam, kedaulatan Raja-Raja Melayu, dan masa depan belia Islam di negara ini,” kata Nolee.

Wanita Bersatu tidak menyertakan pautan kandungan tular yang diperkatakan itu, namun Yeoh sebelum ini berkata satu laporan polis akan dibuat terhadap video dan mesej berniat jahat yang beri gambaran beliau cuba menjadikan Malaysia ‘negara Kristian’.

Yeoh berkata terdapat banyak mesej dan video WhatsApp yang tersebar mempolitikkan keputusan mahkamah, dengan juga memberi gambaran beliau mahu memurtadkan orang Islam.

Pada 23 Dis, Mahkamah Tinggi menolak saman Hannah yang menuduh Musa memfitnahnya dengan mengatakan beliau cuba menjadikan Malaysia sebagai ‘negara Kristian’.

Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Apandi, berkata ucapan Musa dalam forum di Universiti Teknologi Mara pada 30 Jan 2020 tidak secara khusus merujuk Yeoh, dan kebanyakan kenyataannya merujuk orang lain.

Peguam Yeoh telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.