Tiada pengesahan rakyat Malaysia terbabit nahas pesawat di Korea Selatan

Tiada pengesahan rakyat Malaysia terbabit nahas pesawat di Korea Selatan

Kementerian Luar berkata Kedutaan Malaysia di Seoul sedang mengumpul maklumat dari sumber rasmi dan memantau situasi semasa.

Sekurang-kurangnya 62 maut apabila pesawat Jeju Air 7C2216 tergelincir dari landasan dan melanggar tembok di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan pagi tadi. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Tiada laporan mengesahkan rakyat Malaysia terbabit nahas pesawat Jeju Air terhempas di Korea Selatan hari ini yang meragut sekurang-kurangnya 62 nyawa, kata Wisma Putra.

Menurutnya, Kedutaan Malaysia di Seoul giat mengumpul maklumat daripada sumber rasmi dan memantau situasi dengan teliti.

“Setakat pagi ini, tiada pengesahan mengenai penglibatan rakyat Malaysia dalam insiden itu,” katanya dalam kenyataan 11 pagi tadi.

“Ingatan dan doa kami bersama keluarga mangsa serta orang tersayang dalam waktu sukar ini.”

Menurutnya, ia akan terus memberi maklumat terkini selepas mendapat lebih banyak maklumat.

Katanya, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan atau maklumat boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Seoul di alamat 129, Dokseodang-ro, Hannam-dong, Yongsan-gu, Seoul 04419 atau telefon: +82-2-2077 8600/+82-10-8974-8699 atau e-mel [email protected].

Pesawat Jeju Air 7C2216 tergelincir dari landasan dan melanggar tembok di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, barat daya negara itu pada 8.03 pagi waktu Malaysia, lapor agensi berita Yonhap.

Yonhap memetik kenyataan pihak berkuasa sebagai berkata, kerosakan pada fungsi gear pendaratan dipercayai punca pesawat membawa 181 penumpang dari Bangkok itu terhempas ketika cuba melakukan pendaratan cemas selepas cubaan pendaratan pertamanya gagal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.