Pengusaha restoran Melayu Kelantan rayu tangguh wajib sijil halal

Pengusaha restoran Melayu Kelantan rayu tangguh wajib sijil halal

Persatuan Pengusaha-Pengusaha Restoran Melayu Kelantan berkata ramai peniaga tidak bersedia kerana syarat itu dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.

Halal Logo
Persatuan Pengusaha-Pengusaha Restoran Melayu Kelantan berkata sebilangan peniaga berdepan masalah kewangan dan perlu mengambil masa untuk menyediakan semua perkara yang diwajibkan untuk mendapatkan sijil halal.
PETALING JAYA:
Sebuah persatuan peniaga Melayu di Kelantan merayu kerajaan negeri menangguhkan keputusan mewajibkan sijil halal untuk pembaharuan lesen perniagaan bagi pemilik dan pengusaha premis berasaskan makanan dan minuman.

Pengerusi Persatuan Pengusaha-Pengusaha Restoran Melayu Kelantan (Permeka) Nik Hassan Mohd Zain berkata kerajaan negeri perlu memberi masa secukupnya kepada peniaga kerana ramai hanya mengetahui perkara itu ketika memperbaharui lesen perniagaan, lapor Sinar Harian.

Katanya, keputusan pelaksanaan syarat itu juga dibuat dalam keadaan tergesa-gesa menyebabkan ramai pemilik restoran tidak menyedari pelaksanaan berkenaan.

“Kami merayu penangguhan itu berikutan ramai peniaga yang belum bersedia. Sepatutnya pihak berkuasa perlu menguar-uarkan notis sekurang-kurangnya enam bulan melalui pekeliling atau media sosial sebelum permohonan dibuat,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Nik Hassan juga mencadangkan kerajaan negeri mewajibkan peniaga menjalani kursus berkaitan sijil halal sepanjang tahun depan sebelum menguatkuasakan syarat tersebut.

Katanya, kebanyakan pengusaha restoran terlibat dalam industri kecil dan sederhana dan mereka berdepan masalah kewangan dan perlu mengambil masa untuk menyediakan semua perkara yang diwajibkan untuk mendapatkan sijil halal.

“Kemampuan kos peniaga juga antara faktor penting kerana ada syarat (sjilil halal) yang memerlukan mereka membaik pulih restoran atau ruang dapur,” katanya.

Nik Hassan berkata pihaknya sudah menghantar surat kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dan akan membincangkan masalah itu dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.

Pada Khamis lalu, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Mat Daud, memaklumkan pemilik dan pengusaha premis makanan dan minuman di Kelantan diwajibkan memiliki sijil halal untuk pembaharuan lesen perniagaan.

Katanya, setakat ini syarat itu diwajibkan oleh MPKB-BRI dan pelaksanaannya akan diperluas kepada pihak berkuasa tempatan lain di negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.