
Mahadi Ismail, 39, dan Aizat Hakim Mohammad, 20, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di Hakim Ahmad Bazli Bahruddin, lapor Berita Harian.
Kedua-dua tertuduh didakwa secara berasingan merogol mangsa ketika itu berusia 10 tahun lapan bulan di sebuah rumah di Bachok sekitar April tahun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 376(2)(e) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun sehingga 20 tahun serta sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli memberitahu mahkamah pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan mangsa seorang kanak-kanak dan baru berusia 10 tahun.
Bagaimanapun, peguam Mohd Firdaus Zainal Abidin yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu jaminan diberikan memandangkan anak guamnya yang juga penjawat awam memberi kerjasama baik kepada pihak polis selain menyerah diri kepada polis.
“Seorang anak guam saya sudah hampir bersara wajib tahun depan selain perlu menanggung empat anak masih bersekolah, manakala seorang lagi anak guam saya baru tamat latihan dan akan melapor diri di tempat kerja esok,” katanya.
Tertuduh turut diwakili peguam Majidah Muhamad.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan setia tertuduh diikat jamin RM10,000 dan perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan selain tidak dibenarkan mengganggu saksi.
Hakim juga menetapkan 2 Feb tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.