Kelantan pertimbang hukuman sebat syariah di khalayak ramai

Kelantan pertimbang hukuman sebat syariah di khalayak ramai

Exco Asri Mat Daud berkata Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) membenarkan hukuman sebat di khalayak ramai.

Mohd Affendi Awang
Mohd Affendi Awang disebat enam kali di depan 90 saksi di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu semalam. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Kerajaan Kelantan tidak menolak kemungkinan melaksanakan hukuman sebatan syariah di khalayak ramai selepas hukuman sama dijalankan di Kuala Terengganu semalam.

Exco Asri Mat Daud berkata Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 negeri yang dipinda pada 2017 antara lain membolehkan hukuman sebat dijalankan di khalayak ramai.

“Insya Allah akan diusahakan juga di Kelantan apabila mempunyai SOP (prosedur operasi standard) secara terbaik,” katanya menurut Berita Harian.

Asri menyifatkan hukuman sebatan syariah di masjid yang dilaksanakan kerajaan Terengganu semalam terhadap pesalah khalwat berulang ialah langkah mendidik masyarakat lebih serius dan berkesan.

Mohd Affendi Awang, 42, individu pertama di Terengganu yang disebat di khalayak ramai. Dia disebat enam kali di depan 90 saksi.

Asri berkata hukuman sebat secara tertutup membabitkan kehadiran warden penjara saja sudah lama dilaksanakan di semua negeri.

Menurutnya, hukuman sebat secara terbuka mengikut tatacara syariah dengan had 70 saksi tidak bercanggah mana-mana peruntukan syariah.

“Kelantan merakamkan ucapan tahniah kepada Terengganu atas pelaksanaan hukuman yang mendidik masyarakat dengan lebih berkesan dan selaras piawaian hukuman berteras syariah.

“Semua pihak tidak perlu membuat sebarang naratif mengelirukan, termasuk mempolitikkan kaedah syariah yang mengikuti SOP. Malah, semua pihak perlu memberi sepenuh kepercayaan kepada kerajaan Terengganu untuk melaksanakannya.”

Khamis lalu, kerajaan Terengganu dilaporkan berkata ia komited menjalankan hukuman sebat di khalayak ramai walaupun mendapat kritikan meluas. Exco Khalil Abdul Hadi berkata ia menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk mengukuhkan undang-undang syariah di Terengganu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.