Bersatu tak halang ahli sertai himpunan solidariti Najib anjuran PAS

Bersatu tak halang ahli sertai himpunan solidariti Najib anjuran PAS

Pemimpin Bersatu tidak mengeluarkan arahan khusus melarang ahli serta penyokongnya menyertai himpunan 6 Jan itu, kata Mas Ermieyati Samsudin.

Mas Ermieyati
Mas Ermieyati Samsudin berkata, himpunan solidariti untuk Najib anjuran PAS pada 6 Jan depan itu selaras dengan prinsip menjunjung kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan.
PETALING JAYA:
Ahli Bersatu tidak dihalang menyertai himpunan ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’ anjuran PAS pada 6 Jan depan, menurut seorang pemimpin sayap parti itu.

Ketua Wanita Bersatu Mas Ermieyati Samsudin berkata, himpunan itu selaras dengan prinsip menjunjung kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya rasa pucuk pimpinan terbuka siapa sahaja yang nak sertai (himpunan) solidariti untuk Najib bersama PAS.

“Pemimpin Bersatu tidak keluar arahan khusus bahawa ahli serta penyokong Bersatu dilarang menyertainya,” katanya kepada FMT.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Perlembagaan menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa-kuasa mutlak tertentu yang tidak boleh dipersoal.

“Jika titah addendum itu benar-benar wujud, ia perlu dijunjung dan dilaksanakan oleh perdana menteri dan kerajaan kerana ini juga sebahagian proses perundangan negara kita yang telah termaktub sekian lama.

“(Bersatu juga) menjunjung titah addendum atas prinsip kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan,” katanya menambah, proses perundangan negara perlu dihormati.

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, beliau juga mungkin akan menghadiri himpunan tersebut bersama pemimpin Bersatu lain.

“Saya yakin akan ada pemimpin Bersatu yang hadiri himpunan itu nanti, saya sendiri tidak menolak kemungkinan akan turun bersama untuk bersolidariti,” katanya.

Dilaporkan semalam bahawa PAS akan mengadakan himpunan solidariti itu di Istana Kehakiman, Putrajaya, pada hari Mahkamah Rayuan mendengar rayuan bekas perdana menteri itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah addendum yang dikatakan dikeluarkan oleh Agong terdahulu.

Dalam surat yang dikeluarkan bertarikh 28 Dis, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menggesa ahli parti itu menghadiri perhimpunan itu ‘demi menunjukkan suatu isyarat nyata kepada kerajaan Madani tentang keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang yang dituntut rakyat’.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh Najib untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan titah addendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.

Dalam pada itu, pemimpin Umno memuji langkah PAS mengadakan himpunan menunjukkan solidariti bersama Najib.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Puad Zarkashi berkata, solidariti itu bukanlah semata-mata kerana Najib, sebaliknya tentang menghornati institusi Raja-Raja Melayu dan memperjuangkan keadilan.

“Umno sudah tentu mengalu alukan jika PAS mengarahkan ahlinya hadir ke perhimpunan solidariti Najib pada 6 Jan ini, (malah) kami amat berterima kasih jika ramai ahli PAS yang hadir.

“Semoga rakyat Malaysia termasuk parti politik lain seperti PKR, DAP dan Bersatu juga turut bersama (menunjukkan solidariti),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.