Usahawan tersenarai Forbes mahu tanding jawatan Pemuda PKR

Usahawan tersenarai Forbes mahu tanding jawatan Pemuda PKR

Jika terpilih Dr Wan Hasifi Amin Wan Zaidon cadang akan bangunkan aplikasi beli barangan asas dengan jimat khusus untuk ahli PKR.

Dr Wan Hasifi Amin Wan Zaidon berkata usaha mempertaruhkan nasib dalam bidang politik bagi mendekati anak muda sekali gus memperkenalkan landskap baharu dalam dunia politik.
PETALING JAYA:
Usahawan teknologi yang disenaraikan Forbes sebagai ’30 under 30′ di Asia pada 2020, Dr Wan Hasifi Amin Wan Zaidon, menawarkan diri bertanding jawatan dalam Pemuda PKR pada pemilihan dijangka berlangsung tahun depan.

Wan Hasifi berkata, jika diberi peluang memimpin Pemuda PKR, antara perkara akan dilakukannya termasuk membangunkan aplikasi pembelian barangan asas secara berkumpulan, yang dapat menjamin penjimatan hingga 20% setiap bulan, khusus untuk ahli parti.

“Selain itu, (saya) akan memperluas jaringan Kelab Mahasiswa PKR, baik di dalam mahupun luar negara bagi memperkukuh penyertaan anak muda dalam politik melalui pendidikan serta pembinaan rangkaian kerjaya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau bercadang memulakan usaha itu di Moscow, Rusia, kerana percaya pengalamannya sebagai bekas pemimpin pelajar di sana memberi kelebihan untuk memahami keperluan pelajar di sana.

Mengulas lanjut, Hasifi berkata, usahanya mempertaruhkan nasib dalam bidang politik adalah bagi mendekati anak muda sekali gus memperkenalkan landskap baharu dalam dunia politik.

Katanya, kebanyakan anak muda pada masa ini menganggap dunia politik tidak relevan dalam kehidupan seharian, malah ada dalam kalangan mereka mempunyai persepsi negatif terhadap ahli politik.

“Oleh itu, kita perlu mendekati mereka dengan solusi praktikal yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, termasuk golongan muda.

“Apabila politik dilihat sebagai alat yang mampu meringankan beban hidup, minat mereka pasti akan terbina,” katanya.

Menurutnya, PKR menjadi harapan rakyat Malaysia untuk merealisasikan reformasi, namun beliau mengakui agenda itu memerlukan proses panjang yang boleh memakan masa berdekad.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata, parti itu akan membuat pemilihan selepas mandat dipegang barisan pimpinan semasa berakhir Mei tahun depan.

Katanya, tidak timbul isu pemilihan parti akan ditangguhkan kerana barisan pimpinan sedia ada masih sah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.