Umno perlu perubahan drastik untuk kekal dalam kerajaan, kata penganalisis

Umno perlu perubahan drastik untuk kekal dalam kerajaan, kata penganalisis

Ahli akademik berkata selain pengundi Melayu bandar dan luar bandar, parti itu juga mesti memikat komuniti Cina dan India.

pau
Syed Arabi Idid berkata taktik Umno menyerang Ahli Parlimen DAP sudah lapuk dan tidak lagi bermakna dalam kalangan pengundi Melayu.
PETALING JAYA:
Umno mesti buang imej perkauman dan meninggalkan sikap agresif jika mahu kembali sebagai rakan kongsi dalam kerajaan perpaduan selepas PRU akan datang, menurut penganalisis politik.

Menurut mereka, Umno juga berdepan pengundi Melayu yang lebih canggih selain perlu meraih sokongan dari nusa teras Melayu

Syed Arabi Idid dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata adalah penting bagi Umno untuk menggunakan strategi yang lebih inklusif.

“Taktik memboikot, dan menyerang DAP dan Ahli Parlimen parti itu tidak lagi berfungsi, walaupun dengan pengundi Melayu,” katanya.

“Pengundi Melayu telah berubah,” tambahnya.

Pada konvensyen Barisan Nasional Negeri Sembilan baru-baru ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama parti itu dengan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim akan kekal sehingga PRU akan datang.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, mengetuai serangan berbaur perkauman terhadap DAP, dan menyeru pemboikotan perniagaan.

Syed Arabi berpandangan Umno perlu ubah pendekatan jika mahu diperuntukkan kerusi boleh menang dan berdepan dengan Perikatan Nasional (PN) pada PRU akan datang.

“Umno juga mesti diperkukuhkan. Jika Pakatan Harapan (PH) memberikannya kerusi yang baik tapi Umno kalah, ia akan melemahkan kerajaan perpaduan,” tambahnya.

Syed Arabi Idid
Syed Arabi Idid.

Syed Arabi menasihatkan Umno untuk tumpu pada isu praktikal yang penting bagi pengundi Melayu hari ini, seperti peningkatan kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi, dan reformasi anti-rasuah.

Katanya lagi, sejarah panjang Umno sebagai kerajaan masih mempunyai nilai simbolik di mata ramai orang Melayu, maka parti itu harus memanfaatkan legasi itu untuk berhubung semula dengan pengundi.

“Mereka perlu manfaatkan perkara ini daripada mengkritik kaum lain,” katanya.

Jayum Jawan
Jayum Jawan.

Jayum Jawan, seorang felo di Akademi Sains Malaysia, menegaskan pengundi Melayu bukan lagi seperti penduduk kampung dahulu.

“Identiti mereka terdiri daripada warga bandar dan luar bandar, masing-masing dengan keperluan unik, tetapi Umno gagal berkembang seiring jangkaan pengundi yang berubah,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata kontroversi yang menyelubungi Zahid, seperti tuduhan rasuah dan kekurangan reformasi yang ketara untuk memulihkan keyakinan, akan menyebabkan kredibiliti Umno dalam kalangan pengundi Melayu kekal rapuh.

“Kepimpinan Zahid telah ditandai dengan kekurangan inovasi,” katanya, dan menambah kepimpinan Umno mesti mempunyai daya tarikan yang lebih luas untuk kelangsungan.

Azmi Hassan
Azmi Hassan.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata Umno mesti merampas semula undi Melayu daripada PN, sebuah gabungan yang diketuai oleh PAS dan Bersatu.

“Umno berdepan tugas yang menggentarkan tetapi kritikal. Sejak PRU 2022, sokongan orang Melayu masih banyak kepada PN,” katanya.

Beliau juga berkata Umno mungkin perlu terus bekerjasama dengan PH untuk menarik pengundi Cina dan India, memandangkan daya tarikannya dengan kumpulan ini semakin berkurangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.