Lelaki panah anjing sudah didakwa di mahkamah, kata polis

Lelaki panah anjing sudah didakwa di mahkamah, kata polis

Pemangku Ketua Polis Perak Zulkafli Sariaat berkata suspek berusia 44 tahun itu didakwa di Mahkamah Majistret Taiping pada 23 Dis lalu.

dog abuse
Keadaan anjing tersebut yang parah sebelum disahkan mati selepas dipanah dalam satu kejadian sebuah ladang di Perak pada 22 Dis lalu. (Gambar Facebook)
IPOH:
Seorang lelaki yang dipercayai membunuh seekor anjing di Ladang Malaya, Selama dengan memanah haiwan tersebut, telah didakwa di Mahkamah Majistret Taiping pada 23 Dis lalu.

Pemangku Ketua Polis Perak Zulkafli Sariaat berkata suspek berusia 44 tahun itu, dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu tarikh perbicaraan di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

“Suspek dibebaskan pada hari sama (23 Dis) selepas dituduh di mahkamah sementara menunggu tarikh perbicaraan kes,” katanya dalam kenyataan.

Zulkafli berkata polis menahan lelaki berkenaan sekitar jam 4.30 petang, 22 Dis, selain merampas satu busur panah dan lima batang anak panah yang dipercayai digunakan membunuh anjing dikenali dengan nama Kutty itu.

Terdahulu Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) mengecam keras insiden berkenaan yang disifatkan sebagai mencabar prinsip asas kemanusiaan serta perlu dikenakan tindakan sewajarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.