
Menurut Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail, rampasan ini merupakan yang terbesar membabitkan modus operandi kiriman melalui mod udara.
Beliau berkata, cubaan menyeludup dadah itu terbongkar apabila pasukan operasi mengesan objek yang mencurigakan di dalam empat kotak bungkusan melalui mesin pengimbas di Terminal Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira 10.15 pagi.
“Hasil pemeriksaan, pihak kami menemukan 80 bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi serbuk kristal putih disyaki dadah jenis metamfetamin,” katanya pada sidang media, lapor Bernama.
Tambahnya, menurut slip penghantaran, kotak itu dialamatkan kepada individu yang disyaki tidak wujud.
Norlela berkata, pihaknya juga cuba mengesan alamat pengirim melalui semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) namun ia didapati palsu.
“Alamat pengirim atas nama syarikat beralamat di Puchong, Selangor, tetapi siasatan kita dengan SSM mendapati syarikat ini tidak wujud,” katanya.
Beliau berkata, siasatan diteruskan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh daripada hab logistik dan penghantaran bungkusan di Shah Alam, Selangor yang terakam pada 13 Dis lepas.
Menerusi rakaman CCTV, katanya, didapati bungkusan-bungkusan tersebut dihantar oleh seorang lelaki tempatan yang menggunakan sebuah Toyota Camry, dipercayai disewa.
Usaha mengesan individu terbabit akan dipergiatkan bagi membantu siasatan, katanya.
Kes disiasat bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan hukuman sebat tidak kurang 12 kali jika tidak dijatuhkan hukuman mati.