Jangan sertai perhimpunan antirasuah, pelajar UMS diberitahu

Jangan sertai perhimpunan antirasuah, pelajar UMS diberitahu

Majlis Perwakilan Pelajar UMS berkata ia tidak menghalang sesiapa menyertai perhimpunan tetapi bimbang dengan provokasi dan risiko keselamatan.

HARAM PRESS CONFERENCE - RUMAH MANDIRI PJ
Penganjur mengumumkan perhimpunan ‘Gempur Rasuah Sabah’ akan diadakan pada 31 Dis ini.
PETALING JAYA:
Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah menasihati pelajar untuk tidak menyertai satu perhimpunan antirasuah yang dijadualkan pada 31 Dis ini, bagaimanapun, ia tidak menghalang sesiapa yang memilih untuk hadir.

Majlis itu berkata terdapat beberapa isu yang dibangkitkan dalam perhimpunan itu termasuk pelantikan Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah, yang mungkin menyalahi undang-undang.

“Kami menghormati hak individu untuk menyuarakan pendapat dan menuntut perubahan tetapi kami menekankan keselamatan pelajar,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pelajar juga perlu mengelak sebarang provokasi sepanjang perhimpunan.

Dirancang diadakan di luar pusat pentadbiran kerajaan negeri Sabah, perhimpunan tersebut bertujuan mendesak tindakan lebih tegas terhadap amalan rasuah di negeri itu.

Bagaimanapun, beberapa tuntutan daripada penganjur menimbulkan kebimbangan, termasuk kritikan terhadap perlantikan Musa sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah, yang mungkin melanggar undang-undang.

Bertemakan ‘Gempur Rasuah Sabah’, penganjur menjangkakan lebih 10,000 menyertai perhimpunan itu. Penganjur juga berusaha untuk mendapatkan kebenaran polis.

Penganjur dilaporkan berkata rakyat Sabah sudah bosan dengan dakwaan rasuah yang berlaku hingga mencemarkan imej negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.