Festival dihenti susulan kontroversi ‘roket China’

Festival dihenti susulan kontroversi ‘roket China’

Festival di pekarangan Dewan Serbaguna Bukit Gambir, Tangkak, diarahkan henti operasi dengan satu notis arahan pemberhentian serta-merta dikeluarkan.

roket bendera china
Gambar tular replika roket dengan bendera China pada sayap yang dipamerkan di festival lampu LED di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, Tangkak, Johor. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Majlis Daerah Tangkak (MDT) mengarahkan festival lampu LED yang mempamerkan struktur replika roket tertera bendera China dihentikan serta-merta.

Dalam kenyataan MDT berkata, festival diadakan di pekarangan Dewan Serbaguna Bukit Gambir, Tangkak, diarahkan menghentikan operasi dengan satu notis arahan pemberhentian operasi serta-merta sudah dikeluarkan.

Katanya, malah struktur roket tertera bendera China itu juga sudah diturunkan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) susulan aduan penduduk.

“Kelmarin, MDT menerima aduan berkaitan tindakan penganjur yang mendirikan struktur berbentuk kapal angkasa/roket yang memaparkan pelekat bendera China di Karnival Fantasi Lampu LED yang menimbulkan kegelisahan masyarakat tempatan.

“Sehubungan itu, siasatan segera dijalankan oleh pihak MDT di tapak dan mendapati penganjur tidak mematuhi syarat-syarat penganjuran karnival khususnya tidak menjaga sensitiviti masyarakat.

“Tindakan menurunkan struktur yang dimaksudkan dibuat dan satu notis arahan pemberhentian operasi serta-merta dikeluarkan oleh pihak MDT kepada penganjur semalam, selaras Seksyen 14(1) (b) dan 49(2) Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (Majlis Daerah Tangkak) 2017 kerana pelanggaran syarat itu,” katanya menurut Harian Metro.

MDT berkata, pemantauan lanjut semalam mendapati tiada sebarang aktiviti berjalan dan karnival sudah ditutup sepenuhnya.

Malam tadi, polis dilaporkan membuka dua kertas siasatan susulan bendera China tertera pada replika roket sempena festival itu susulan aduan penduduk.

Ketua Polis Tangkak, Roslan Mohd Talib, dilaporkan berkata kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, seorang Adun Umno Johor menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap penganjur karnival susulan kontroversi bendera China pada satu replika roket yang dipamerkan.

Adun Gambir, Sahrihan Jani, juga mahu tindakan proaktif termasuk membatalkan permit dan penganjuran program itu jika benar penganjur tidak mematuhi garis panduan ditetapkan MDT dan pihak keselamatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.