Wanita Indonesia ke Mahkamah Persekutuan mohon kerakyatan anak

Wanita Indonesia ke Mahkamah Persekutuan mohon kerakyatan anak

Sijil kelahiran anak kedua wanita itu dirampas selepas kanak-kanak itu didapati tiada sebarang persamaan fizikal dengan suaminya yang turut mengaku dia bukan anak kandungnya.

Wanita Indonesia itu memohon pengisytiharan anak lelakinya warganegara Malaysia serta perintah mahkamah untuk memaksa JPN mengembalikan sijil kelahiran dan mengeluarkan MyKad kepada anak keduanya.
KUALA LUMPUR:
Seorang wanita warga Indonesia memohon untuk mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan bagi merayu keputusan Mahkamah Rayuan menolak rayuannya bagi memohon deklarasi bahawa anak lelaki keduanya yang kini berusia 14 tahun adalah warganegara Malaysia.

Wanita berusia 40-an itu memfailkan notis usul di Mahkamah Persekutuan pada 23 Dis lepas, dengan menamakan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan kerajaan sebagai responden.

Menerusi notis yang diperoleh media hari ini, wanita terbabit merayu terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan pada 29 Nov lepas dengan mengemukakan lima persoalan undang-undang.

Peguam A Srimurugan yang mewakili wanita berkenaan mengesahkan perkara itu ketika dihubungi pemberita.

Kes itu membabitkan seorang wanita Indonesia yang berkahwin dengan warga Malaysia pada 2000 dan melahirkan dua anak lelaki pada 2004 serta 2010.

Kedua-duanya didaftarkan sebagai anak kepada suami wanita itu dan sijil kelahiran dikeluarkan kepada mereka.

Apabila anak kedua berumur 12 tahun, dia memohon kad pengenalan Malaysia (MyKad), namun kesnya dirujuk untuk siasatan lanjut selepas pihak berkuasa mendapati kanak-kanak itu tiada sebarang persamaan fizikal dengan lelaki terbabit.

Semasa siasatan, lelaki terbabit mengaku remaja itu bukan anak kandungnya dan enggan melakukan ujian DNA yang menyebabkan sijil kelahiran dirampas, manakala pengeluaran MyKad ditangguhkan kerana siasatan belum selesai.

Wanita itu kemudian memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi terhadap ketua pengarah JPN dan kerajaan dengan memohon pengisytiharan bahawa anak lelakinya warganegara Malaysia serta perintah untuk memaksa JPN mengembalikan sijil kelahiran, selain mengeluarkan MyKad.

Pada 16 Okt 2023, Mahkamah Tinggi menolak saman pemula wanita itu dan Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan berkenaan pada 29 Nov lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.