
Tertuduh yang berusia 23 tahun dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan dikemukakan jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.
Mengikut pertuduhan, dia yang bekerja kebun sawit didakwa menyimpan video dan gambar lucah dalam telefon miliknya di sebuah rumah di Sri Medan, Batu Pahat, 11.15 malam, 23 Dis 2023.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta dan laporan, polis menerima maklumat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung pautan yang digunakan tertuduh yang mana ada kaitan dengan video dan gambar lucah dirakamnya.
Sebaik menerima maklumat itu, polis menyerbu rumah didiami tertuduh bersama ahli keluarga lain dan merampas telefon bimbitnya.
Pemeriksaan menemui beberapa gambar dan video yang dirakam tertuduh. Hasil soal siasat, tertuduh mengaku bahan lucah adalah nenek, ibu saudara, dan juga sepupunya, lapor Berita Harian.
Semua video dan gambar itu dirakam ketika mereka sedang mandi dan juga menyalin pakaian dalam bilik.
Berikutan itu, polis menahan tertuduh pada hari sama dan dibawa ke IPD Batu Pahat untuk siasatan lanjut.
Pada prosiding itu, pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara kerana bimbang kemungkinan tertuduh akan melakukan perkara sama jika dikenakan denda.
Mahkamah menjatuhi tertuduh penjara empat hari dan denda RM4,000 serta memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayarnya.