Pindah 2.41 tan minyak masak; 480kg gula, pengurus gudang mengaku tak salah

Pindah 2.41 tan minyak masak; 480kg gula, pengurus gudang mengaku tak salah

Muhamad Hilmi Mohamad Ashari, 35, didakwa pindah barang kawalan itu ke premis tidak dilesenkan tanpa kebenaran sah.

Muhamad Hilmi Mohamad Ashari membayar ikat jamin RM20,000 dengan mahkamah tetap 3 Feb ini sebutan semula kes, serahan dokumen, dan lantikan peguam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pengurus gudang sebuah pasar raya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Pasir Mas atas pertuduhan memindahkan dua barang kawalan melibatkan 2.41 tan minyak masak dan 480kg gula ke premis tidak dilesenkan, pada Januari lalu.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Hilmi Mohamad Ashari, 35, memindahkan barangan kawalan itu tanpa kebenaran sah.

Dia membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah.

Hilmi dituduh memindahkan barangan itu dari premis yang dinyatakan dalam lesen di Jalan Tengku Petra Semerak, Kota Bharu ke alamat tidak dinyatakan dalam lesen, di Kampung Lubuk Tapah, Lati, Pasir Mas.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira 9 malam, pada 14 Jan lalu, lapor Utusan Malaysia.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya, sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Sophian Zakaria dan Muhammad Hakiim Izani, manakala Hilmi tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Sophian mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu dia perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri setiap sebulan sekali di pejabat KPDN, dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Menurutnya, syarat terbabit ditetapkan memandangkan orang kena saman (OKS) dipertanggungjawab menguruskan barangan berkenaan, namun telah melakukan kegiatan mengaibkan dan menyimpan barangan kawalan terbabit di tempat lain.

“OKS sepatutnya menjalankan amanah dengan mematuhi peraturan, namun harapkan pegar, pegar makan padi. Demi kepentingan awam, saya cadangkan jaminan dengan syarat berkenaan,” katanya.

OKS dalam rayuannya memohon jaminan dikurangkan memandangkan dia menanggung adik-beradik yang masih bersekolah selain kawasan kedai seliannya itu turut mengalami kerosakan akibat banjir November lalu.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 3 Feb ini untuk sebutan semula kes, serahan dokumen, dan lantikan peguam. OKS kemudian membayar jaminan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.