Penghantar barang, juruanalisis mengaku tak salah jadi keldai akaun

Penghantar barang, juruanalisis mengaku tak salah jadi keldai akaun

Kedua-dua tertuduh didakwa menyerahkan kad ATM milik mereka kepada individu lain.

Muhamad Harizi Abu Bakar dan K Kalai Vani dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau bagi menghadapi tuduhan hari ini. (Gambar Bernama)
BALIK PULAU:
Seorang penghantar barang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan menjadi keldai akaun.

Muhamad Harizi Abu Bakar, 28, didakwa bagi pertuduhan pertama memiliki wang berjumlah RM10,800 milik Aalban Sudesh George, 31, dalam akaun Bank Simpanan Nasional (BSN).

Tertuduh didapati menyerahkan kad ATM miliknya kepada Alvin Lim, yang beralamat di Jalan Puchong, Kampung Bohol Baharu, Kuala Lumpur, melalui penghantaran J&T.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bayan Lepas pada 6.05 petang 13 Nov lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Harizi didakwa memiliki RM11,680 milik Law Teck Teong, 62, dalam akaun BSN dan tertuduh didapati menyerahkan kad ATM miliknya kepada Lim di alamat sama melalui penghantaran J&T di Lebuh Relau 9, Setia Skyvista, Bayan lepas pada 1.36 tengah hari 14 Nov lepas.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 424B Kanun Keseksaan yang membawa denda minimum RM10,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan, manakala tertuduh yang diwakili peguam Yusmadi Yusoff memohon jaminan rendah kerana Harizi pemegang kad orang kurang upaya (OKU) hanya berpendapatan RM2,000 sebulan dan menyara keluarga termasuk anak dua tahun.

“Meskipun peruntukan baharu ini untuk membasmi keldai akaun, namun tiada sesiapa boleh dianiaya, khususnya golongan lemah,” kata Yusmadi.

Di mahkamah sama, seorang juruanalisis mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki RM750 milik Yeoh Pei Ling, 42, dalam akaun Hong Leong Bank dan tertuduh didapati menyerahkan kad ATM miliknya kepada Koo Sin Lung di Jalan Sri Klebang 1, Bandar Baru Sri Klebang, Chemor, Perak.

K Kalai Vani, 44, didakwa melakukan kesalahan itu di Mukim 8, Gertak Sanggul, Teluk Kumbar, Bayan Lepas, di sini pada 12.42 tengah hari 12 Dis lepas mengikut seksyen sama.

Lim mencadangkan jaminan RM10,000, namun tertuduh diwakili MV Yoges merayu jaminan rendah atas alasan wang itu hanya RM750 dan anak guamnya penanggung tunggal keluarga dengan pendapatan RM3,500 sebulan kerana suaminya kehilangan kerja.

Yoges memberitahu mahkamah anak guamnya menyerahkan kad ATMnya kepada peminjam Ah Long untuk proses peminjaman wang dan satu laporan polis dibuat berhubung perkara itu serta tertuduh mengalami beberapa masalah kesihatan, termasuk masalah hormon dan menjalani pembedahan buku lali.

Majistret Chia Huey Ting membenarkan Harizi diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 27 Jan depan sebutan kes, manakala jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin bagi Kalai Vani serta 22 Jan depan bagi sebutan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.