Kereta rempuh besi penghadang, 2 pelajar wanita maut

Kereta rempuh besi penghadang, 2 pelajar wanita maut

Kedua-dua mangsa tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

kemalangan maut
Dua pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) maut dalam nahas awal pagi tadi dengan dua lain cedera, dalam nahas KM187.6 Lebuhraya Utara Selatan, arah Utara Jasin. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Dua pelajar wanita Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) maut tersepit akibat merempuh besi penghadang di KM187.6 Lebuhraya Utara Selatan, arah Utara Jasin, awal pagi tadi.

Ketua Polis Jasin Ahmad Jamil Radzi, berkata kejadian 6.30 pagi itu melibatkan kereta Perodua Myvi dinaiki empat wanita, yang juga pelajar UTeM berusia 19 hingga 21 tahun.

Katanya, Nurul Syafiqah Nasruddin dan Nurhanis Afryna Azizan, masing-masing berusia 19 tahun.

“Penumpang hadapan dan penumpang belakang sebelah kiri maut di lokasi kemalangan susulan parah di kepala,” katanya menurut Sinar Harian.

“Sementara itu, dua lagi rakannya iaitu pemandu berusia 20 tahun dan penumpang belakang sebelah kanan berusia 21 tahun selamat, masing-masing mengalami kecederaan di kaki selain luka-luka ringan.”

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam pada itu, Pusat Gerakan Operasi Bomba Melaka, memaklumkan lapan anggota termasuk dua dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba Jasin Bestari dikejarkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi didapati sebuah kereta Perodua Myvi terbabas dan terdapat dua mangsa wanita berusia 20-an berjaya keluar. Terdapat dua mangsa wanita tersepit dalam kenderaan yang remuk dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas perubatan.

“Komander operasi lapor dua mangsa tersepit berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.