Jual racun kera di TikTok, persatuan haiwan repot polis

Jual racun kera di TikTok, persatuan haiwan repot polis

Persatuan Kebajikan Haiwan Malaysia berkata tindakan itu melanggar Akta Perlindungan Hidupan Liar.

racun monyet tiktok
Tangkap layar video TikTok menunjukkan peniaga itu memberi makan sekumpulan kera dengan aiskrim dicampur racun.
PETALING JAYA:
Sebuah NGO kebajikan haiwan membuat laporan polis terhadap seorang peniaga dalam talian yang menjual racun untuk membunuh kera.

Presiden Persatuan Kebajikan Haiwan Malaysia, Mukunnan Sugumaran, berkata lelaki itu juga baru-baru ini memuat naik satu video di TikTok untuk mempromosikan produknya, iaitu racun dikenali sebagai ‘Crodex’.

Dalam video berdurasi satu minit itu, lelaki tersebut dilihat membaling aiskrim yang dicampur racun berkenaan kepada sekumpulan kera berhampiran sebuah taman perumahan.

Lelaki itu berkata, kumpulan kera mengganggu penduduk di situ dan cara itu adalah kaedah yang betul untuk menghapuskan haiwan ‘perosak’ berkenaan.

Bagaimanapun, Mukunnan berkata tindakan lelaki itu melanggar Akta Perlindungan Hidupan Liar.

“Tindakan ini juga membahayakan manusia,” katanya dalam laporan polis yang dibuat di IPD Kajang.

Beliau berkata, tindakan peniaga itu juga menggalakkan orang ramai melakukan perkara sama terhadap haiwan di hutan atau di jalanan, dan menggesa polis mengambil tindakan.

Ketika berita ini ditulis, video berkenaan masih belum diturunkan dan semakan pada akaun TikTok tersebut menunjukkan beberapa video lelaki itu meletakkan racun pada makanan seperti roti dan pisang untuk mengumpan kera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.