JPJ lancar ‘Gempur Teknikal’ sasar kenderaan perdagangan

JPJ lancar ‘Gempur Teknikal’ sasar kenderaan perdagangan

Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli berkata syarikat atau kenderaan yang gagal mematuhi peraturan boleh dikenakan tindakan termasuk sita dan lucut hak.

jpj lorry
Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli berkata operasi khas itu menumpukan kepada kesalahan seperti lebih muatan, teknikal, dokumentasi, lalu lintas serta teknikal pembuatan dan penggunaan kenderaan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menyita dan lucut hak kenderaan yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan kaedah-kaedah di bawahnya menerusi operasi khas ‘Gempur Teknikal’ di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya Aedy Fadly Ramli berkata pemilik syarikat atau kenderaan akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 57 Akta 715 atas kesalahan disyaki melanggar lesen pengendali iaitu gagal memberikan keutamaan ke atas pengguna jalan raya yang lain.

“Sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda di bawah seksyen yang sama iaitu denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM500,000.

“Kenderaan yang terlibat juga boleh disita di bawah Seksyen 80 Akta 715 dan dilucut hak jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata operasi khas itu menumpukan kepada penguatkuasaan kepada kesalahan seperti lebih muatan, teknikal, dokumentasi, lalu lintas serta teknikal pembuatan dan penggunaan kenderaan.

Operasi khas itu dilancarkan JPJ bermula semalam.

JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kaedah-kaedah di bawahnya, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan keselamatan jalan raya.

“JPJ memandang serius trend kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan yang menyebabkan kematian pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Negara baru-baru ini dikejutkan dengan kemalangan ngeri yang meragut tujuh nyawa dalam insiden melibatkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna di KM204 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di Melaka pada Isnin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.